Cari @ Amanz

Di ucapan pembukaan Computex yang baru sahaja berlangsung pagi ini, AMD, melalui CEOnya Dr. Lisa Su telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan dua produk terbaru mereka, iaitu siri CPU AMD Ryzen 3000 dan juga kad grafik AMD berdasarkan rekaan binaan 7nm terbaru mereka.

AMD Ryzen 3000

Siri CPU AMD Ryzen 3000 dibina berdasarkan cip perkomputeran Zen 2 yang menjanjikan peningkatan prestasi berbanding bukan sahaja CPU siri AMD Ryzen 2000, tetapi juga CPU-CPU generasi kesembilan yang terbaru daripada Intel.

Dr. Lisa Su mengumumkan kehadiran tiga CPU AMD yang paling berkuasa melalui AMD Ryzen 7 3700X, AMD Ryzen 7 3800X dan juga AMD Ryzen 9 3900X.

Apa yang menakjubkan mengenai Ryzen 7 3700X dan juga Ryzen 7 3800X ialah kedua-dua CPU ini hadir dengan lapan teras fizikal dan 16 bebenang kuasa yang menggunakan jumlah TDP (Total Drawn Power) serendah 65W dan 105W, dimana perbezaan diantara kedua-dua adalah kebolehan lewahjamnya, dimana AMD Ryzen 7 3700X boleh dilewahjam sehingga 4.4GHz, manakala AMD Ryzen 7 3800X boleh dilewahjam sehingga 4,5GHz.

CPU 8 teras didalam siri CPU AMD Ryzen bukanlah sesuatu yang baru, akan tetapi CPU dengan jumlah teras yang lebih besar biasanya hadir melalui siri AMD Threadripper dan EPYC.

Akan tetapi, AMD nampaknya tidak menggunakan platform Threadripper untuk CPU siri Zen 2, tetapi telah memasukkannya kedalam siri Ryzen terbaru yang dinamakan Ryzen 9 yang menggunakan soket AM4. CPU ini, yang dinamakan AMD Ryzen 9 3900X yang mempunyai 12 teras dan 24 bebenang kuasa yang membenarkan CPU ini untuk dilewahjam sehingga 4.6GHz dengan nilai TDP setinggi 105W sahaja.

Ketiga-tiga CPU ini turut hadir dengan tanda harga yang diumumkan pada penghujung ucaptama AMD, dan akan tiba di pasaran dunia pada 7 Julai kelak.

  • AMD Ryzen 7 3700X – $329
  • AMD Ryzen 7 3800X – $399
  • AMD Ryzen 7 3900X – $499

AMD Radeon RX5000 Navi

Sehingga kini, tidak banyak yang diketahui mengenai kad grafik terbaru daripada AMD ini. Selain daripada nama kod Navi, Dr. Lisa Su turut mengumumkan bahawa salah satu daripada kad grafik ini, yang kini dinamakan AMD Radeon RX 5700 akan hadir dengan sokongan untuk format sambungan PCIe 4.0, yang juga akan hadir melalui papan-papan induk AMD X570.

Dalam pada itu, dengan kad grafik terbaru ini, AMD tidak lagi menggunakan Graphics Core Next untuk set arahan GPU mereka, dan memperkenalkan Radeon DNA, ataupun dikenali sebagai RDNA bermula dengan kad grafik terbaru ini.

Dr. Lisa Su mengacah bahawa butiran lanjut mengenai kad grafik Navi ini akan diumumkan pada acara Next Horizon yang akan berlangsung bersempena dengan acara Electronic Entertainment Expo tidak lama lagi.

Sama dengan CPU AMD Ryzen 3000, ia juga dikatakan bahawa AMD akan melancarkan kad grafik AMD Radeon RX 5700 ini sekitar bulan Julai kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd