ASUS ROG Strix Scar III Dan Strix Hero III Diperkenalkan – Laptop Gaming E-Sukan Dengan Spesifikasi Berkuasa

ASUS ROG Strix Scar III Dan Strix Hero III Diperkenalkan – Laptop Gaming E-Sukan Dengan Spesifikasi Berkuasa

Diterbitkan pada Mei 27, 2019 oleh .

Siri komputer riba gaming ASUS ROG Strix Scar dan Strix Hero diperkenalkan beberapa tahun lalu sebagai sebuah cara untuk ASUS memperkenalkan teknologi permainan komputer berkuasa pada siri komputer riba mereka, dimana kedua-dua model ini memfokuskan tajuk permainan e-sukan yang popular.

Beberapa tahun kemudian, di acara Computex Taipei 2019, ASUS memperkenalkan barisan generasi ketiga komputer riba tersebut yang dikuasakan oleh siri CPU dan juga kad grafik yang terbaru dan paling berkuasa,

Sama seperti model-model ASUS ROG Strix Scar Dan Hero sebelum ini, kedua-dua komputer riba ini hadir dengan spesifikasi dalaman yang serupa. Kedua-dua komputer riba ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i5 dan Core i7 generasi kesembilan, memori DDR4 8GB dan juga storan SSD PCIe sebesar 512GB.

Dari segi pilihan kad grafik, pengguna akan dapat memilih untuk membeli komputer riba ASUS ROG Strix Scar III dan Hero III ini termasuklah NVIDIA GeForce RTX 2060 dan juga NVIDIA GeForce RTX 2070.

Pengguna juga boleh memilih untuk mendapatkan model dengan paparan 15 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 144Hz ataupun paparan 17 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 240Hz.

Menurut ASUS lagi, apabila mereka bekerjasama dengan BMW Designworks untuk membina komputer riba konsep Face Off, mereka menggunakan beberapa rekaan didalam komputer riba Strix Scar III dan Strix Hero III ini, terutamanya melalui rekaan sistem penyejukan CPU dan GPU.

Selain dari itu, kedua-dua laptop ini juga mempunyai ciri baru yang dinamakan ROG Keystone, iaitu sebuah kunci NFC yang boleh digunakan untuk menyimpan butiran pengubahsuaian profil, dan juga untuk menyahkunci storan rahsia Shadow Drive yang hanya boleh diakses apabila ROG Keystone ini dipasang pada komputer riba.

ASUS turut menambahkan jumlah lampu RGB di sekeliling siri komputer riba ini, dan kesemuanya boleh diubahsuai melalui perisian Aura Sync. Perisian Armoury Crate turut dikemaskini untuk memudahkan lagi pengguna mengubah tetapan laptop mereka.

ASUS Malaysia berkata bahawa mereka akan membawa masuk siri komputer riba ASUS ROG Strix Scar III dan Hero III tidak lama lagi, dan juga akan mengumumkan tanda harganya tidak lama lagi.


TIPS & ULASAN