MSI GT76 Titan Kini Rasmi – Komputer Riba Gaming Gergasi Dengan Spesifikasi Desktop Berkuasa
MSI

MSI GT76 Titan Kini Rasmi – Komputer Riba Gaming Gergasi Dengan Spesifikasi Desktop Berkuasa

Diterbitkan pada Mei 28, 2019 oleh .

Pada minggu lepas, kami ada melaporkan bahawa MSI akan tiba dengan laptop siri MSI GT Titan terbaru mereka, yang akan dinamakan MSI GT76 Titan.

Di acara Computex Taipei yang kini sedang berlangsung, MSI telah menunjukkan komputer riba gaming gergasi tersebut di reruai mereka, dan semua butiran spesifikasi mengenainya sudahpun disahkan.

MSI GT76 Titan ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-9900K, mampu menyokong memori DDR4 sehingga 128GB dan boleh menampung tiga SSD PCIe M.2 dan sebuah cakera keras didalamnya.

Dalam pada itu, ia juga dilengkapi dengan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 bersaiz penuh, dan ia digunakan untuk menggerakkan paparan bersaiz 17.3 inci yang beresolusi 4K (3820×1280) dengan kadar segar semula 144Hz.

Ia juga hadir dengan sejumlah besar palam I/O yang banyak, termasuklah palam USB 3.1 Type-A, USB 3.1 Type-C, palam HDMI, DisplayPort dan sebagainya.

MSI turut menambahbaik sistem penyejukan CoolerBoost Titan mereka khusus untuk komputer riba ini, dan ia kini hadir dengan 11 paip pengaliran haba dan empat kipas penyejuk untuk mengalirkan udara panas keluar daripada komputer riba tersebut.

Seorang eksekutif pemasaran MSI Malaysia telah memberitahu kami bahawa MSI Malaysia akan membawa masuk komputer riba MSI GT76 Titan ini tidak lama lagi, tetapi mereka masih belum mengenalpasti model dan spesifikasi yang akan dijual untuk pasaran tempatan buat masa ini.


TIPS & ULASAN