Alienware Mengemaskini Barisan Gaming Mereka Dengan Alienware m15 Dan Alienware M17

Alienware Mengemaskini Barisan Gaming Mereka Dengan Alienware m15 Dan Alienware M17

Diterbitkan pada Mei 28, 2019 oleh .

Siri komputer riba Alienware oleh syarikat pembina komputer Dell adalah sebuah jenama yang cukup terkenal di kalangan gamer. Kebiasaannya komputer-komputer riba ini hadir dengan spesifikasi yang sangat berkuasa, dan rangka yang seakan sebuah pengganti komputer desktop daripada sesuatu yang boleh dibawa kemana-mana.

Akan tetapi, di acara pengumuman produk-produk terbaru oleh Dell hari ini, Alienware telah mengemaskini dua komputer riba popular mereka, iaitu Alienware m15 dan Alienware m17 bukan sahaja dengan spesifikasi dalaman yang terbaru dan berkuasa, tetapi juga rekaan rangka yang lebih nipis berbanding dengan sebelum ini.

Alienware m15

Alienware m15 boleh dikatakan komputer riba gaming bersaiz 15 inci yang paling berkuasa yang akan berada didalam pasaran selepas kemaskini terbaru oleh Dell.

Rangka Alienware m15 diperbaharui untuk bukan sahaja membuatkan siri laptop ini lebih nipis, pada ketebalan 20mm dan mempunyai berat maksima 2.16kg sahaja, bergantung kepada spesifikasi laptop ini.

Ia dilengkapi oleh pilihan CPU Intel Core i5 hingga Intel Core i9 generasi kesembilan yang terbaru, pilihan memori DDR4 sebanyak 8GB ataupun 16GB yang boleh dinaiktaraf ke jumlah yang lebih tinggi lagi jika diperlukan, dan juga storan SSD sehingga 4TB jika anda memerlukannya.

Dari segi pilihan grafik pula, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan kad grafik NVIDIA GeForce GTX terbaru, ataupun kad grafik NVIDIA GeForce RTX dari NVIDIA GeForce RTX 2060 sehinggalah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2080 Max-Q.

Alienware m15 hadir dengan pilihan paparan dengan kadar segar semula, jenis paparan dan juga resolusi yang berbeza. termasuklah panel dengan kadar segar semula 60Hz ataupun 240Hz, panel IPS ataupun OLED dan panel dengan resolusi Full HD ataupun 4K.

Alienware m17

Alienware m17 ialah komputer riba gaming bagi mereka yang inginkan sebuah pengganti desktop yang boleh diangkat dan dibawa ke tempat lain jika diperlukan.

Sama seperti Alienware m15, rekaan rangka model m17 ini dikemaskini untuk menjadikannya lebih nipis dan lebih ringan. Menurut Dell, Alienware m17 ini hadir dengan ketebalan yang sama dengan Alienware m15, pada berat maksima 2.63kg bergantung kepada spesifikasi dalaman.

Bercakap mengenai spesifikasi dalaman, Alienware m17 ini turut hadir dengan spesifikasi dalaman sama yang berkuasa seperti Alienware m15. Pengguna boleh memilih untuk mendapatkan CPU Intel Core i5 hingga Intel Core i9 generasi kesembilan, memori DDR4 sebanyak 8GB atau 16GB, dan juga storan SSD sehingga 4TB.

Pilihan kad grafik juga sama untuk kedua-dua model ini, dari NVIDIA GeForce GTX 1650 hinggalah NVIDIA GeForce RTX 2080 Max-Q.

Satu perbezaan ketara yang dapat dilihat diantara kedua-dua model ini ialah dari segi pilihan paparan. Alienware m17 hanya diberi pilihan diantara dua jenis paparan, iaitu paparan 17 inci IPS dengan resolusi Full HD dengan kadar segar semula 60 FPS ataupun 144 FPS.

Diantara ciri-ciri baru yang turut diperkenalkan melalui kedua-dua laptop ini ialah perisian pengawalan pencahayaan RGB AlienFX yang boleh digunakan untuk mengintegrasikan sistem pencahayaan tersebut didalam 150 tajuk permainan komputer yang popular.

Dengan teknologi penyejukan Cryo-Tech 3.0 Dell telah membesarkan kipas-kipas yang digunakan untuk menyejukkan CPU dan kad grafik didalam laptop tersebut dengan lebih cekap.

Kedua-dua komputer riba ini juga akan hadir dengan dua skema warna yang menarik, iaitu Lunar Light dan Dark Side of The Moon. Buat masa ini, pihak Dell masih belum mengumumkan bilakah komputer-komputer riba gaming ini akan dilancarkan, dan juga tanda harganya.


TIPS & ULASAN