Redmi K20 Pro Kini Rasmi – Skrin AMOLED, Snapdragon 855, Kamera 48MP Dan Bateri 4000mAh

Redmi K20 Pro Kini Rasmi – Skrin AMOLED, Snapdragon 855, Kamera 48MP Dan Bateri 4000mAh

Diterbitkan pada Mei 28, 2019 oleh .

Redmi adalah sub-jenama Xiaomi yang menawarkan harga peranti yang lebih kompetitif. Selepas banyak peranti kelas pertengahan yang dilancarkan Redmi, ramai yang nantikan Redmi K20. Ia adalah peranti mercu yang dikatakan membunuh segala peranti mercu lain. Ramai yang mempunyai harapan tinggi terhadap Redmi K20 kerana OnePlus sudah tinggalkan gelaran ‘Flagship Killer‘ dan ramai juga nantikan pengganti Pocophone.

Hari ini, Redmi telah melancarkan siri Redmi K20 secara rasmi dan yang paling menarik dalam siri ini adalah Redmi K20 Pro. Ternyata benar, ia adalah pembunuh segala peranti mercu tahun 2019.

Redmi K20 Pro hadir dengan skrin 6.39″ AMOLED FHD+, dijana cip Snapdragon 855 dan dipadankan dengan pilihan memori sehingga 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 256GB. Untuk kamera pula, kamera utama adalah gabungan 48+8+13 Megapixel. Kamera utama Redmi K20 Pro turut mampu merakam 960FPS melalui sensor IMX586. Kamera swafoto pula adalah kamera sistem pop-naik sebesar 20-Megapixel dan bagi mereka yang skeptikal dengan ketahanan sistem kamera seperti ini, usah risau – ia telah diuji untuk 30,000 kali naik turun iaitu sekitar 10 tahun penggunaan.

Kenapa Redmi K20 Pro adalah pembunuh peranti mercu sebenar? Ini kerana ia turut mempunyai NFC dan perkara ini jarang disertakan pada peranti Redmi yang murah. Kemudian ia turut mempunyai sistem pengecasan pantas 27W melalui port USB-C yang mampu mengecas peranti dalam masa 73 minit sahaja. Akhir sekali, peranti ini turut mempunyai port bicu audio 3.5mm dengan sistem audio Mi Sound, DAC dari Qualcomm Aqstic dan juga diiktiraf mempunyai audio Hi-Res.

Harga Redmi K20 Pro sangat kompetitif dan sangat murah untuk sebuah peranti mercu. Harga permulaan Redmi K20 Pro adalah RMB2499 (~RM1517) untuk variasi 6/64 GB, RMB2599 (~RM1578) untuk variasi 6/128 GB, RMB2799 (~RM1699) untuk variasi 8/128 GB dan akhir sekali paling mahal adalah RMB2999 (~RM1821) untuk 8/256 GB.


TIPS & ULASAN