Carian
Redmi K20 Turut Dilancarkan – Hampir Sama Seperti Pro, Tetapi Snapdragon 730
May 28, 2019 Fahim Zahar

Hari ini, Redmi telah melancarkan siri Redmi K20 secara rasmi dan yang paling menarik dalam siri ini adalah Redmi K20 Pro. Bersama-sama dengan Redmi K20 Pro, Redmi turut melancarkan Redmi K20 – iaitu versi murah dan sedikit kurang berkuasa. Apa yang menarik pada Redmi K20 biasa adalah, segalanya hampir sama dengan versi Pro – tetapi hanya berbeza pada cip pemprosesan dan sistem pengecasan pantas.

Redmi K20 hadir dengan skrin 6.39″ AMOLED FHD+, dijana cip Snapdragon 730 dan dipadankan dengan memori 6GB RAM dan pilihan storan dalaman sehingga 128GB. Untuk kamera pula, adalah gabungan 48+8+13 Megapixel yang mana sensor 48MP adalah dari lensa IMX582. Kamera swafoto pula adalah kamera sistem pop-naik sebesar 20-Megapixel dan bagi mereka yang skeptikal dengan ketahanan sistem kamera seperti ini, usah risau – ia telah diuji untuk 30,000 kali naik turun iaitu sekitar 10 tahun penggunaan.

Peranti ini turut mempunyai NFC, tetapi sistem pengecasan pantasnya bukan 27W – ia menggunakan kuasa hanya 18W. Akhir sekali, peranti ini turut mempunyai port bicu audio 3.5mm dengan sistem audio yang diiktiraf Hi-Res. Harga Redmi K20 juga kompetitif jika dibandingkan dengan peranti lain dalam kelas yang sama. Redmi K20 hanya terdapat dua variasi iaitu 6/64 GB yang dijual pada harga RMB1999 (~RM1214) dan 6/128 GB dijual pada harga RMB2099 (~RM1274).

Komen