Peranti Samsung pada saat ini masih tidak menawarkan pengecasan yang sepantas seperti pesaingnya. Namun perkara ini mungkin akan berubah apabila Samsung mengumumkan dua cip pengecasan baru untuk kebolehan pengecasan yang jauh lebih pantas.
Dua cip pengecasan yang diumumkan ialah SE8A dan MM101. Cip SE8A menawarkan Secure Element untuk pengecasan yang lebih selamat, manakala MM101 menyertakan Advanced Encryption Standard. Kedua-dua cip pengecasan ini yang menariknya mampu menawarkan pengecasan sehingga 100W (20V/5A) – seumpama teknologi pengecasan pantas yang diperlihatkan oleh Xiaomi.
Kedua-dua cip pengecasan ini juga menepati piawaian USB-PD 3.0 untuk sokongan pengecas yang lebih meluas. Bermakna, anda boleh menggunakan pengecas komputer riba atau tablet – asalkan ia membawa piawaian sejagat ini.
Cip SE8A dijangka akan digunakan pada produk pengguna dalam sekitar tahun ini juga, sementara cip MM101 bakal diperluaskan pada suatu tempoh masa kelak. Dengan pengumuman ini, kita bakal menikmati pengecasan yang lebih singkat walaupun peranti tersebut hadir dengan bateri berkapasiti besar.