Carian
YouTube Sedang Menguji Kemampuan Solekan Realiti Terimbuh Untuk Pembeli Alat Solek
May 31, 2019 Fahim Zahar

Iklan adalah perkara yang paling menjengkelkan ketika menonton YouTube, menatal di Twitter, membaca berita dan banyak lagi. Lebih menyakitkan hati apabila iklan tersebut panjang dan tidak boleh di langkau. Tetapi bagaimana kalau, sesuatu iklan itu adalah iklan interaktif dan kita sebagai pengguna boleh berinteraksi bersama-sama dengan iklan tersebut?

Itulah yang Google sedang uji sekarang. Aplikasi YouTube kelak akan hadir dengan iklan interaktif berasaskan realiti terimbuh. Iklan seperti ini dilihat diuji dengan alat solek terlebih dahulu, yang mana ia memfokuskan terhadap pilihan gincu. Cara ia berfungsi adalah, apabila pengguna nampak iklan gincu di YouTube – beliau boleh tekan satu butang untuk ‘mencuba’ gincu tersebut. Aplikasi YouTube akan cuba menggunakan realiti terimbuh untuk mewarnakan bibir penonton mengikut warna gincu dalam iklan.

Buat masa ini, tidak pasti lagi jika Google akan sertakan atau tidak fungsi ini. Ini kerana ia masih berada di fasa ujian dan pihak Android Police pula mendapati informasi ini berdasarkan fail .APK yang telah dinyahkod. Jika perkara ini diimplementasikan, pasti ramai gadis-gadis di luar sana akan kerap menggunakannya.

Komen