Sistem operasi Windows telah wujud sejak 1985. Ia kini dalam versi kesepuluh yang dilancarkan pada tahun 2014. Jika dua versi ini dibandingkan, perbezaan yang telah dilakukan amat ketara sekali. Windows perlu berubah sekali lagi bagi memenuhi keperluan dunia Pasca PC. Di Computex, Microsoft telah berkongsi visi sistem operasi generasi hadapan mereka buat pertama kali.
Sistem operasi moden ini akan menyokong kemas kini yang tidak memerlukan peranti dihidupkan semula selepas ia dilakukan. Pengguna sendiri tidak akan menyedari proses kemas kini dilakukan kerana semuanya berlaku di latar belakang dengan lancar tanpa mendatangkan masalah dan gangguan. Pengguna Windows masa hadapan tidak akan lagi mengamuk apabila komputer mengemaskini secara tiba-tiba membuatkan kerja tidak mampu dilakukan.
Sistem operasi moden perlu selamat sejak kali pertama ia digunakan sehinggalah ke penghujung hayat penggunanya. Misalnya sistem pengiraan dipisahkan dari aplikasi. ini melindungi pengguna daripada serangan berniat jahat sepanjang kitaran hayat peranti
Sistem operasi masa hadapan adalah sentiasa berhubung kepada rangkaian 5G yang pantas. Ia juga mampu berfungsi sepanjang hari tanpa pengguna risau tentang tahap bateri dan keperluan mengecas. Sambungan ke pengkomputeran awanan juga perlu kerana ia mempertingkatkan pengalaman pengguna. Kesemua ini dapat dilakukan kerana sistem operasi moden yang hadir dengan kecerdasan buatan yang boleh meramal apakah yang akan dilakukan oleh pengguna dan membuatkan aplikasi berfungsi dengan lebih bijak.
Tidak seperti sistem operasi semasa, sistem operasi modem boleh dikawal menerusi pelbagai deria. Ia mengesan lakaran menggunakan stylus, memahami arahan suara, mengesan sentuhan pada skrin dan menjejak pergerakan mata penggunanya.
Akhir sekali sistem operasi moden boleh digunakan pada peranti dengan rekabentuk dan saiz yang pelbagai. Dengan kata lain ia boleh digunakan pada tablet, komputer, telefon pintar dan banyak lagi tanpa sebarang masalah. Ini adalah impian Microsoft sejak Windows 8 yang sehingga kini tidak kesampaian.
Besar kemungkinan kesemua visi yang dikongsi ini akan diperkenalkan menerusi Windows Lite yang sedang mereka bangunkan. Ia dilihat sebagai pesaing kepada Chrome OS yang boleh digunakan pada peranti dengan skrin yang boleh dilipat.