Cari @ Amanz

Realme 3 Pro
Skrin 6.3” IPS LCD
2340 x 1080, 409 ppi
Chipset Qualcomm Snapdragon 710
CPU 2 x Kryo 360 Gold 2.2 GHz
6 x Kryo 360 Silver 1.7 GHz
GPU Adreno 616
Memori 4GB/6GB RAM
Storan 64GB/128GB + slot mikroSD
Kamera Utama 16MP f/1.7 + 5MP, 4K@30fps
Kamera Hadapan 25MP f/2.0, 1080p@30fps
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
Sistem Android 9.0 Pie (ColorOS 6.0)
Bateri 4045 mAh, VOOC 3.0 (20W)
Dimensi 156.8 x 74.2 x 8.3mm
Berat & Ketebalan 172g, 8.3mm
Tempoh Ujian
Peranti
2 minggu

Realme pada sebelum ini telah hadir dengan Realme 2 Pro yang membawakan penawaran peranti yang hebat pada harga mampu-milik. Ia hebat kerana ia menawarkan cip Snapdragon 660 dan pilihan RAM setinggi 8GB RAM pada harga yang rendah berbanding pesaingnya. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai keupayaan dwi-kamera yang baik untuk harian, bersama kapasiti bateri yang mampu bertahan sepanjang hari. Ia antara peranti yang cukup disukai oleh kami pada tahun lalu atas penawarannya yang seimbang.

Realme pada tahun ini nampaknya ingin menyajikan penawaran yang lebih baik kepada pengguna. Pada Mac yang lalu, mereka telah mula melancarkan peranti Realme 3 dengan menyajikan penawaran yang cukup menarik perhatian. Ia hadir dengan cip MediaTek Helio P60, kapasiti bateri 4000 mAh, dan dijual pada harga bermula RM599. Dengan melihat kepada penawaran Realme 3 ini, nampaknya Realme 3 Pro kelak pastinya akan membawakan spesifikasi yang lebih berkuasa.

Pada Mei 2019, akhirnya Realme telah melancarkan Realme 3 Pro untuk pasaran tempatan. Seperti yang dijangka, Realme 3 Pro telah berjaya mencuri perhatian ramai atas penawaran yang diberikan. Ia membawakan cip Snapdragon 710 iaitu sebuah cip kelas pertengahan premium yang selalunya dijual pada peranti berharga RM1500 dan ke atas. Apa yang mengejutkan, Realme 3 Pro ini dijual pada harga bermula RM899 – sekaligus membuatkannya sebagai peranti Snapdragon 710 dengan harga terendah yang anda boleh dapat di pasaran.

Rekabentuk

Sebelum kita bercakap mengenai rekaannya, Realme 3 Pro hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan berkuasa, seperti kehadiran skrin 6.3-inci Full HD+ dengan nisbah 19.5:9, cip Qualcomm Snapdragon 710, pilihan memori 4GB/6GB RAM, dan storan dalaman 64GB/128GB berserta sokongan kad mikroSD. Ia juga membawakan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 4045 mAh dengan pengecasan VOOC 3.0.

Dari segi binaannya, Realme 3 Pro membawakan binaan berasaskan polikarbonat dengan kemasan berwarna cerun. Apabila diteliti, ia turut diperkemaskan dengan corak berbentuk lingkaran, yang mana memberi penampakan peranti yang cukup unik. Memegang peranti ini terasa cukup kukuh di tangan, namun binaannya mudah memerangkap kesan cap jari. Namun begitu, pihak Realme masih menawarkan kerangka silikon di dalam kotak, dalam melindungi peranti daripada hentakan dan kesan kotoran.

Untuk rekaan di bahagian sisi, ia menempatkan butang kuasa di bahagian kanan, manakala slot dwi-sim dan butang pelarasan suara ditempatkan pada bahagian kiri. Slot dwi-sim ini menawarkan slot yang berasingan, sekaligus membolehkan anda meletakkan kad mikroSD dan dwi-sim secara serentak. Di bahagian bawah peranti, ia masih membawakan sambungan bicu audio, selain mendatangkan sambungan mikro-USB dan pembesar suara berasaskan mono.

Pada bahagian belakang, ia menampilkan sokongan dwi-kamera yang mana ia kelihatan sedikit tersembul keluar. Di bahagian belakang ini turut menampilkan pengimbas cap jari, yang mana dapat memberi tindak balas yang pantas. Selain pengimbas cap jari, ia juga masih menyajikan fungsi imbasan wajah sebagai alternatif untuk sokongan biometrik ini.

Pada bahagian hadapan, ia hadir dengan skrin IPS LCD sebesar 6.3-inci, dengan penawaran resolusi Full HD+ pada nisbah 19.5:9. Kualiti paparan peranti ini kelihatan sangat baik, dengan memberi darjah pandangan skrin yang luas apabila dilihat dari sudut berlainan. Ia juga membawakan kaca Corning Gorilla Glass 5 dalam melindungi skrin daripada kesan calar dan hentakan.

Dari segi variasi, Realme 3 Pro hadir dalam dua pilihan variasi iaitu 4GB RAM + 64GB dan 6GB RAM + 128GB. Sekiranya anda ingin berjimat, variasi permulannya sudah cukup mencukupi, lebih-lebih lagi sekiranya anda memanfaatkan fungsi backup pada Google Photos. Tetapi sekiranya storan ini tidak mencukupi untuk anda, anda masih boleh memanfaatkan kad mikroSD sehingga 256GB. Dari segi warna, Realme 3 Pro telah ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Carbon Gray, Nitro Blue, dan Lightning Purple.

Sistem

Realme 3 Pro ini dijana dengan antaramuka ColorOS iaitu antaramuka yang sama digunakan pada peranti OPPO. Ia membawakan versi ColorOS 6.0, iaitu iterasi terkini yang anda dapat lihat pada peranti OPPO terkini seperti OPPO F11 dan OPPO Reno. Ia telah dibina berasaskan sistem operasi Android 9.0 Pie, sekaligus membolehkan anda memanfaatkan teknologi seperti Vulkan 1.1. Berbeza seperti ColorOS sebelum ini, ColorOS 6.0 telah hadir dengan talam aplikasi untuk memudahkan anda melihat aplikasi yang dipasang di dalam peranti.

Namun begitu, ColorOS pada Realme 3 Pro ini sedikit berbeza dengan peranti kerana ia tidak membawakan sebarang sokongan pertukaran tema. Bermakna, anda hanya diberikan untuk menggunakan tema yang sedia hadir pada peranti ini. Sebagai alternatif, anda boleh menggunakan pelancar (launcher) pihak ketiga, bagi membolehkan anda mengubah tampilan ikon pada paparan utama.

Walau bagaimanapun, beberapa fungsi menarik pada ColorOS 6 masih disajikan pada Realme 3 Pro ini. Antara fungsi yang menarik ialah Game Space yang membolehkan ia meningkatkan kelajuan dan membantu untuk menyorokkan notifikasi ketika permainan. Sekiranya anda kerap ke luar negara, anda boleh menggunakan perkhidmatan O Roaming yang didatangkan, dengan membolehkan anda melanggan internet melalui sokongan eSIM secara terbina. Ia juga membawakan fungsi Phone Manager iaitu pusat sehenti untuk mengawal storan, memori, dan akses sesuatu aplikasi pada peranti anda.

Prestasi

Realme 3 Pro membawakan cip yang sama seperti Nokia 8.1 dan OPPO Reno, menerusi penggunaan cip Qualcomm Snapdragon 710 bersama pilihan memori 4GB/6GB RAM. Cip ini membawakan rekaan cip lapan-teras, menerusi 2 x Kryo 360 Gold 2.2 GHz (teras berkuasa) dan 6 x Kryo 360 Silver 1.6 GHz (teras efisien), selain dijana dengan GPU Adreno 616. Apabila diuji pada aplikasi penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, ia berjaya mencatatkan masa sekitar 155,050, yang mana ia melepasi cip Exynos 9610 pada Samsung Galaxy A50 (141,646). Untuk perbandingan dengan cip yang lain, cip Snapdragon 710 ini hampir mendekati cip HiSilicon Kirin 970 pada Huawei Nova 4 dengan mata 174,109.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu memberi prestasi harian yang pantas, bersama pengalaman pertukaran aplikasi yang memuaskan melalui pilihan memori 4GB atau 6GB RAM. Untuk prestasi permainan, permainan seperti PUBG Mobile dapat dimainkan pada tetapan tinggi, dengan memberi bacaan frame rate yang lancar dan konsisten. Menariknya, ia juga boleh memainkan Fornite iaitu permainan yang memerlukan cip terpilih untuk menjalankannya. Dari segi haba, haba yang dikeluarkan juga sangat minima, walaupun ia digunakan secara intensif dalam tempoh jangka masa yang lama.

Kamera

Dari segi penggambaran, Realme 3 Pro membawakan sensor utama 16MP f/1.7 bersama sensor kedua 5MP untuk menjayakan kebolehan Portrait Mode. Ia tidak menampilkan penstabilan imej optikal (OIS), namun ia masih menyajikan fungsi penstabilan imej elektronik (EIS) untuk mengurangkan kesan gegaran. Ia juga dilengkapi dengan LED flash bersama pencahayaan satu-tona warna dalam membantu penggambaran pada waktu gelap.

Dari segi kualitinya, hasil penggambarannya dilihat sangat baik, dengan memberi hasilan yang terang walaupun digunakan pada situasi pencahayaan yang rendah. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dengan aperture sebesar f/1.7 dapat mengurangkan kesan hingar (noise) pada kawasan gelap di dalam gambar. Keseluruhan penggambaran juga memberi keperincian imej yang tajam apabila menerima pencahayaan yang mencukupi, selain memberi perwarnaan yang menarik untuk dilihat.

Kamera hadapannya telah dipertingkatkan kepada 25MP f/2.0 berbanding 16MP f/2.0 pada Realme 2 Pro. Hasilan swafotonya mampu memberi keperincian imej yang cukup tajam, lebih-lebih lagi ketika fungsi pencantikkan wajah dimatikan secara sepenuhnya. Anda akan dapat lihat kulit wajah dengan sangat jelas, namun warna kulit masih diterangkan walaupun tiada sebarang fungsi pencantikkan wajah ini diaktifkan. Ia juga mempunyai fungsi Portrait Mode, bagi membolehkan kesan kabur dihasilkan pada bahagian belakang wajah.

Dari segi fungsi, Realme 3 Pro mampu membuat rakaman setinggi 4K@30fps selain hadir dengan rakaman gerak perlahan 1080p@120fps. Ia juga menyajikan fungsi Night Mode, dalam membolehkan anda mendapatkan penggamabaran malam yang lebih terang. Beberapa fungsi lain turut hadir pada peranti ini seperti Panorama, Expert Mode, Time-Lapse, dan Google Lens untuk menambah baik fungsi rakaman ketika melakukan penggambaran.

Bateri

Realme 3 Pro menyajikan peningkatan bateri sebanyak 545 mAh berbanding Realme 3 Pro, dengan menyajikan kapasiti 4045 mAh berbanding 3500 mAh. Dengan penggunaan cip 10nm melalui Snapdragon 710 ini, ia dilihat mampu memberi bacaan bateri yang lebih baik berbanding model Realme 2 Pro, dengan masa penggunaan peranti yang lebih lama.

Dengan kapasiti 4045 mAh dan padanan cip 10nm ini, Realme 3 Pro mampu menawarkan masa Screen-on-Time (SoT) yang cukup baik, melalui bacaan SoT sekitar 7 jam 18 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Dari segi masa pengecasannya, peranti ini turut dibekalkan dengan pengecas VOOC 3.0 (20W) secara tersedia, dengan masa pengecasan peranti sekitar 1 jam 21 minit.

Rumusan

Realme 3 Pro menyajikan penawaran peranti yang sangat hebat, sehingga kami tidak percaya ia hanya ditawarkan pada harga bermula RM899. Ia mempunyai rekaan yang menarik, paparan skrin yang terang, disamping dijana dengan cip yang terpantas untuk kelasnya. Ia juga dilengkapi dengan sokongan dwi-kamera yang terang, keupayaan kamera hadapan yang menyerlah, selain mampu memberi ketahanan bateri yang lama.

Cuma kekurangannya, binaannya terasa sedikit murah, yang mungkin berikutan daripada penggunaan berasaskan polikarbonat. Ia juga masih menggunakan sambungan mikro-USB, berbanding sambungan USB-C yang sedia digunakan pada peranti sekelasnya. Selain itu, kami mengharapkan ia hadir dengan pilihan memori 8GB RAM, selain menyajikan IR blaster seperti peranti Redmi Note 7.

Pro
  • Menawarkan binaan yang kukuh dengan kemasan warna yang menaik .
  • Menyajikan kualiti skrin terang melalui panel IPS LCD dan resolusi Full HD+.
  • Dijana dengan cip Snapdragon 710 untuk kegunaan harian dan permainan yang pantas.
  • Keupayaan kamera belakang dapat menghasilkan gambar yang tajam dengan perwarnaan ke arah semula jadi.
  • Mempunyai kapasiti bateri 4000 mAh yang dapat memberi bacaan SoT sekitar 7 jam 18 minit.
  • Dibekalkan dengan pengecasan pantas VOOC 3.0 (20W) secara terbina.
  • Mengekalkan sambungan audio 3.5mm.
  • Hadir dengan slot dwi-sim dengan sokongan kad mikroSD secara berasingan.
  • Dijana dengan Android 9.0 Pie terkini bersama ColorOS 6.0.
Kontra
  • Hadir dengan binaan polikarbonat.
  • Masih menggunakan sambungan mikro-USB.
  • Tiada pilihan memori setinggi 8GB RAM seperti Realme 2 Pro
  • Tiada fungsi IR blaster untuk menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh.

Tetapi untuk harga peranti RM899, ia sebuah peranti yang sangat seimbang kerana ia dapat memberi pengalaman peranti yang sangat berbaloi untuk harganya. Ia dijana dengan cip Snapdragon 710 yang berkuasa, mempunyai keupayaan dwi-kamera yang mesra untuk penggambaran malam, dan hadir dengan bateri 4000 mAh. Bagi saya, peranti ini sangat mudah disyorkan untuk pengguna yang mengutamakan aspek prestasi, kamera, dan jangka hayat bateri yang baik pada harga peranti di bawah RM900.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd