Samsung Mengemaskini Siri “Notebook 7” – Alternatif MacBook Pro Untuk Penggiat Kreatif

Samsung Mengemaskini Siri “Notebook 7” – Alternatif MacBook Pro Untuk Penggiat Kreatif

Diterbitkan pada June 3, 2019 oleh .

Samsung hari ini telah mengemaskini siri Notebook 7 yang kini membawakan penawaran yang lebih berkuasa untuk kegunaan penggiat seni dan kreatif. Ia hadir dengan tiga model berbeza, iaitu dengan saiz 13-inci, 15-inci, dan model tertinggi Notebook 7 Force.

Kesemua siri Samsung Notebook 7 telah didatangkan dengan cip generasi ke-lapan Intel Core i7-8565U, yang mana akan sedikit mengecewakan kerana ia tidak dijana dengan cip Intel generasi ke-10. Namun begitu, ia hadir dengan pilihan memori setinggi 16GB RAM dan pilihan storan setinggi 512GB SSD.

Dari segi grafik, versi 13-inci hadir dengan grafik Intel UHD Graphics, sementara versi 15-inci hadir dengan grafik NVIDIA GeForce MX250. Bagi model Notebook 7 Force, ia telah didatangkan dengan NVIDIA GTX 1650 untuk penggunaan yang lebih berkuasa.

Untuk sambungan, ketiga-tiga siri Notebook 7 mempunyai satu sambungan USB-C, 2x USB 3.0, 1x HDMI, 1x slot mikroSD, dan 1x bicu audio 3.5mm. Bagi Notebook 7 Force, ia satu-satunya model dalam siri ini yang bakal disertakan dengan sambungan RJ45 untuk sambungan ethernet.

Dari segi jualan, Samsung Notebook 7 versi 13-inci telah ditawarkan pada harga bermula $999 (~RM4,183.51), manakala versi 15-inci dijual pada harga $1099 (~RM4,602.28). Untuk Notebook 7 Force pula, ia dijual pada harga bermula $1499 (~RM6,277.36) dan boleh didapati bermula 26 Julai untuk pasaran antarabangsa.



TIPS & ULASAN