Ulasan Innergie PowerGear 60C – Pengecas Padat Pilihan Untuk Untuk Individu Kerap Berkelana

Ulasan Innergie PowerGear 60C – Pengecas Padat Pilihan Untuk Untuk Individu Kerap Berkelana

Diterbitkan pada June 17, 2019 oleh .

Antara perkara yang paling menjengkelkan bagi kami sebelum pergi melakukan kerja di luar negara ialah memastikan kesemua peranti dicas. Setiap peranti pula mempunyai kabel pengecas berbeza yang perlu dibawa sekaligus memenuhkan beg sandang. Dengan pengenalan USB-C dan format pengecasan USB-PD, masalah ini sedikit sebanyak berjaya diselesaikan. Bagi mereka yang mencari pengecas sarwajagat untuk kesemua peranti yang dimiliki, Innergie PowerGear 60C USB-C Laptop Adapter ialah antara yang telah ditawarkan di pasaran Malaysia.

Rekaan

 Innergie PowerGear 60C
Input AC 100-240V / 1.6A 50-60 Hz
Output Kuasa Maksimum 60W
Jenis USB  1 X USB-C
Format Pengecasan 5V / 3A
9V / 3A
12V / 3A
15V / 3A
20V / 3A
Dimensi 30.4 x 30.4 x 60 mm
Berat 85 Gram
Kepala Pengecas  3X (Eropah, Asia dan USA)
Harga RM 273

Kelebihan PowerGear 60C terletak pada rekaannya yang amat padat iaitu sekitar 55 cc sahaja. Ini adalah lebih kecil berbanding sebuah bateri sel kering bersaiz D. Secara lebih terperinci pengecas ini mempunyai ukuran 6 X 3 X 3 centimeter sahaja tanpa kepala pengecas.

Bercakap mengenai kepala pengecas, tiga kepala soket disertakan iaitu palam 3 kepala yang digunakan di Malaysia (dan negara Komanwel), serampang dua mata Eropah dan serampang dua mata Amerika Syarikat. Dengan setiap pembelian, ketiga-tiga kepala soket ini disertakan. Pengguna tidak perlu membawa penyesuai berasingan yang mengambil lebih banyak ruang di dalam beg. Ketiga-tiga soket ini boleh dipasang dan ditanggalkan dengan hanya memutarkannya dari tubuh pengecas.

Hanya terdapat output menerusi port USB-C sahaja. Ini adalah kerana sebuah kabel USB-C ke USB-C sepanjang 1.5 meter disertakan dengan pembelian. Kabel adalah dari jenis saduran penebat plastik yang berwarna kelabu cair. Adalah agak aneh ia tidak mempunyai warna putih yang sama dengan tubuh pengecas. Ini boleh menyebabkan mereka yang yang mementingkan estetik dan keseragaman mengamuk

Gambar di bawa menunjukkan perbezaan saiz pengecas PowerGear 60C jika dibandingkan dengan pengecas 87W MacBook Pro dan Huawei Supercharge untuk Mate 30 Pro. Dua pengecas yang bersaiz besar boleh digantikan dengan hanya sebuah PowerGear 60C.

Pengecasan Dan Penggunaan

Selain pengecasan pada output 60W, ia turut menyokong pengecasan dengan output 15W, 27W, 36W dan 45W. Ini membolehkannya mengecas sebuah komputer riba dengan GPU (secara perlahan), komputer riba kerja, telefon pintar, phablet, tablet, Nintendo Switch dan jam tangan pintar dengan hanya menggunakan satu kepala pengecas.

Kami yakin ramai di antara pembaca yang tertanya-tanya apakah format pengecasan yang disokong? Kami mendapati ia menyokong Adaptive Fast Charging 15W Samsung, USB-PD 18W, pengecasan pantas Apple 18W dan juga komputer riba Huawei MateBook 13 yang kami gunakan untuk beberapa tugasan luaran. Dari apa yang kami dapat lihat jika peranti anda menyokong sebarang format USB-PD dan QuickCharge, PowerGear 60C tidak akan mempunyai masalah untuk menyokong sistem pengecasan pantas yang disokong.

Tetapi jika peranti anda menggunakan sistem pengecasan Oppo SuperVOOC, Vivo Dual Engine, OnePlus Warp Charge atau Huawei SuperCharge pula, peranti tidak akan mengecas pada kelajuan terpantas. Ini besar kemungkinan peranti-peranti ini mempunyai cip khas pada pengecas dan peranti untuk mengawal sistem mengecas bateri. Cip ini tidak disertakan pada PowerGear 60C.

Pada waktu yang sama ia hanya boleh mengecas komputer riba kerja yang tidak dilengkapi kad grafik berkuasa. Pada Huawei Matebook 13 yang hanya dilengkapi kad grafik NVIDIA GeForce MX150, pengecasan pantas kuasa penuh dapat dilakukan tanpa sebarang masalah.

Tetapi apabila kami mengecas komputer riba Acer Spin 5 dengan NVIDIA GeForce GTX 1050 di tempat kerja, amaran pengecasan yang perlahan mula terpapar pada skrin. Ini turut berlaku apabila cuba mengecas sebuah MacBook Pro 15″ 2018 dengan grafik Radeon Pro 560X. Ia hanya sekadar mampu mengekalkan tahap bateri ketika digunakan. Kekurangan ini adalah kerana keperluan pengecas dengan output kuasa lebih tinggi diperlukan (90w dan 87w). Pengecasan bateri masih boleh dilakukan jika kedua-dua komputer riba diletakkan dalam mod tidur.

Satu lagi amaran yang boleh kami berikan ialah PowerGear 60C menjadi amat panas apabila digunakan untuk mengecas pada output maksimum. Mengecas komputer riba akan membuatkan tubuhnya hampir tidak boleh disentuh selama beberapa minit selepas pengecasan dihentikan. Untuk pengecasan telefon pintar, masalah ini tidak berapa ketara dengan pemanasan setanding dengan pengecas yang disertakan dengan pembelian peranti.

Penyesuai MagiCable 150

Setakat ini kami hanya bercakap mengenai pengecasan menggunakan kabel USB-C yang disertakan. Apa pula terjadi jika komputer riba anda tiak mempunyai port USB-C dan sebaliknya masih menggunakan palam kuasa berbeza? Innergie menyelesaikan masalah ini menerusi aksesori tambahan MagiCable 150.

Ia sebuah kabel sepanjang 1.5 meter dengan enam kepala pengecas komputer riba dari pengeluar seperti Acer, Asus, Dell, HP dan Lenovo. Kesemua kepala ini boleh ditukar dengan mudah dengan hanya menariknya keluar. Sekiranya anda menggunakan komputer riba dari pengeluar lain, pihak Innergie mempunyai program pemberian kepala pengecas percuma pasca pembelian.

Kesimpulan

Tetapi persoalan yang pastinya ada di kalangan pembaca Amanz ialah adakah ia mampu benar-benar boleh berfungsi sebagai pengecas alternatif yang menjimatkan ruang di dalam beg galas.

Jawapan kami dari pengalaman peribadi selama tiga minggu ialah ya. Pertama sekali dengan sambungan USB-C pada tubuh PowerGear 60C membolehkan kami mengecas telefon pintar Android, iPad, iPhone dan komputer riba kerja yang digunakan tanpa sebarang masalah.

Saiznya memang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan pengecas komputer riba yang kami gunakan pada waktu ini. Penjimatan ruang di dalam beg adalah amat ketara sekali. Tetapi harus kami nyatakan kami adalah sebilangan kecil individu yang mempunyai peranti yang menyokong USB-C pada telefon pintar, tablet dan komputer riba. Jadi jumlah maksimum kabel yang diperlukan hanya dua apabila bertugas di luar.

Kabel MagiCable 150 USB-C ke enam kepala pengecas komputer riba ditawarkan berasingan. Enam keapala ini menyokong pengecasan pada beberapa pengeluar komputer riba utama. Kepala pengecas tambahan percuma boleh dipesan percuma dari Innergie jika diperlukan. Seperti kabel USB-C yang disertakan, kabel tambahan ini juga mempunyai binaan yang baik.

Dari penggunaan selama lebih sebulan dan melakukan tugasan ke Amerika Syarikat dan Eropah, Innergie PowerGear 60C USB-C Laptop Adapter tidak mengecewakan. Hampir 90% keperluan pengecasan dapat kami lakukan tanpa sebarang masalah. Ia menyelesaikan masalah perlu membawa lebih dari dua pengecas bersaiz besar ketika berkelana kami. Kami menyarankannya kepada individu yang mementingkan penjimatan ruang di dalam beg sandang.

Innergie PowerGear 60C USB-C Laptop Adapter dijual pada harga RM273 manakala MagiCable 150 dijual pada harga RM62 satu set.

Kelebihan Kekurangan
  • Saiz yang amat padat. Lebih kecil berbanding sebuah bateri bersaiz D. Menjimatkan ruang simpanan dalam beg.
  • Menyokong majoriti sistem pengecasan pantas yang digunakan pada telefon pintar, tablet dan komputer riba.
  • Pilihan 3 kepala palam untuk pasaran Eropah, US dan Asia.
  • Kabel untuk pengecasan PC hadir dengan enam kepala. Pilihan memesan penyesuai untuk pelbagai model pengecas PC yang lain.
  • Binaan yang baik dan tahan lasak.
  • Warna kabel pengecas berbeza dengan warna tubuh pengecas.
  • Tidak menyokong pengecasan pantas Huawei, Oppo, Vivo dan OnePlus yang memerlukan cip khusus.
  • Tidak boleh mengecas komputer riba dengan kad grafik diskrit ketika ia digunakan.
  • Menjadi amat panas apabila mengecas pada output maksimum.

TIPS & ULASAN