Apple Memperkenalkan Mac Pro Baru

Apple Memperkenalkan Mac Pro Baru

Diterbitkan pada June 4, 2019 oleh .

Apple hari ini selain memperkenalkan sejumlah perkara baru dalam arena perisian dan sistem operasi, mereka turut mengambil peluang untuk memperkenalkan sebuah komputer berkuasa baru mereka, iaitu Mac Pro.

Mac Pro generasi baru hadir dengan rekaan yang dikemaskini, dan bukannya membawakan rekaan umpama “tong sampah” yang menjadi bualan ramai sebelum ini.

Apple Mac Pro

Mac Pro baru hadir dengan rekaan premium, dan kerangkanya boleh dibuka dalam memberikan anda akses penuh kepada komponen didalamnya dalam memudahkan anda menaik-tarafnya lagi.

Menjana Mac Pro ini adalah cip Intel Xeon 28-teras yang membolehkan anda melakukan pelbagai tugasan dengan mudah dan pantas menggunakannya – termasuk menyunting video, gambar, mahupun dalam pelbagai pembangunan.

Mac Pro juga menyokong memori sehingga 1.5TB RAM, selain sokongan sehingga lapan slot PCI Express. Menjana komputer riba ini juga adalah pembekal kuasa 1400 Watt.

Apple Mac Pro

Apple mengatakan Mac Pro turut menyokong sehingga empat GPU Radeon Vega II bersama-sama dengannya.

Dengan penawaran kuasa pemprosesan yang tinggi ini, salah satu perkara menarik adalah dimana ia kekal beroperasi pada keadaan yang lebih senyap berbanding pelbagai penawaran seumpamanya yang lain.

Di Amerika Syarikat, Apple Mac Pro baru ini ditawarkan pada harga bermula $5999, yang mana hadir dengan cip Intel Xeon 8-teras, memori 32GB RAM, storan 256GB dan kad grafik Radeon Pro 580X.



TIPS & ULASAN