Apple hari ini turut telah memperkenalkan sistem operasi generasi baru untuk perkomputeran daripada mereka, iaitu macOS Catalina. Bersama-sama dengannya, ia turut menyertakan sejumlah ciri-ciri baru untuk para pengguna.
Apple macOS Catalina hadir dengan aplikasi baru seperti Apple Music, Podcasts dan juga Apple TV – sekaligus menggantikan iTunes sebelum ini.
Selain itu, Apple turut memperkenalkan sebuah ciri baru dinamakan Sidecar yang membolehkan anda menggunakan iPad sebagai skrin kedua yang dihubungkan ke Mac anda, dan menggunakannya dalam pelbagai penggunaan kreatif.
Apple turut memberikan fokus terhadap pengguna dengan kelainan upaya melalui macOS baru ini. Kini, kawalan berasaskan suara menerima fokus utama, membolehkan anda mengawal Mac (dan iPhone) sepenuhnya menggunakan suara tanpa input tambahan lain.
Dan akhir sekali, seperti pada iPhone, kini pengguna turut disediakan dengan ciri “Screen Time” untuk memantau penggunaan anda, dan mengelak anda daripada membazir dengan pelbagai aplikasi yang kurang produktif.
macOS Catalina boleh diuji oleh para pembangun hari ini. Versi akhirnya dijangka ditawarkan secara percuma untuk semua Mac sejak pertengahan 2012 yang lepas dan terbaru dalam masa beberapa bulan lagi.