Facebook Dilaporkan Mungkin Memperkenalkan Kriptowang Mereka Seawal Bulan Ini

Facebook Dilaporkan Mungkin Memperkenalkan Kriptowang Mereka Seawal Bulan Ini

Diterbitkan pada June 6, 2019 oleh .

Facebook telah diperkatakan sekian lama yang mana mereka sedang membangunkan kriptowang tersendiri dalam memudahkan pelbagai urusan pembayaran merentas negara. Terkini, mengikut laporan terbaru daripada The Information, ia dikatakan gergasi laman sosial Facebook bakal memperkenalkan wang digital mereka berkenaan seawal bulan Jun ini.

Facebook dikatakan akan menawarkan sejumlah ganjaran kepada para penjual dalam mengimplementasi dan menerima bayaran berasaskan kriptowang mereka ini. Selain daripada itu, pengguna juga dijangka akan ditawarkan dengan kemudahan untuk menukar wang tunai biasa kepada bentuk kriptowang berkenaan di beberapa kiosk fizikal.

Berbeza dengan kriptowang biasa, penawaran Facebook dijangka akan terikat dengan wang dunia nyata, sekaligus menjadikan ia lebih stabil dan tidak berubah nilai secara mendadak seperti kriptowang lain. Namun, maklumat lanjut berkaitan dengannya masih tidak diketahui lagi buat masa ini.

Selain pembayaran untuk pembelian barangan, kriptowang daripada Facebook ini juga dijangka akan memudahkan lagi pemindahan wang dari seorang pengguna kepada pengguna yang lain – tanpa mengira negara.

Pihak Facebook masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan penawaran wang digital mereka ini. Dengan desas-desus baru ini,mkita mungkin mendengar lanjut mengenai penawaran terbaru Facebook ini dalam masa terdekat ini.


TIPS & ULASAN