Perkhidmatan Penstriman Permainan Google Stadia Akan Dilancarkan November Ini

Perkhidmatan Penstriman Permainan Google Stadia Akan Dilancarkan November Ini

Diterbitkan pada June 7, 2019 oleh .

Google hari ini telah berkongsi lanjut berkenaan perkhidmatan penstriman permainan mereka tersendiri, iaitu Stadia. Google mengatakan perkhidmatan ini akan dilancarkan pada bulan November kelak, dan ia ditawarkan pada harga langganan bulanan dibawah Stadia Pro pada harga $9.99 sebulan.

Google Stadia

Langgaan Stadia Pro ini bakal menawarkan akses kepada perkhidmatan penstriman tersebut, selain turut menawarkan kandungan tambahan yang dikemaskini dari masa ke semasa untuk anda mainkan. Selain daripada langganan Stadia Pro, pengguna juga turut boleh membeli permainan di Stadia secara berasingan. Sekiranya anda membeli secara berasingan, maka anda boleh memainkan permainan berkenaan tanpa memerlukan langganan Stadia Pro – tetapi terhad pada resolusi rendah.

Bersama-sama pengumuman hari ini, pihak Google turut berkongsi lanjut berkenaan sokongan yang diperlukan. Google mengatakan pengguna perlu mempunyai sokongan minimum dengan kelajuan muat-naik minima 1Mbps, dan muat-turun 10Mbps. Namun, Google mengalakkan pengguna mempunyai akses sehingga 35Mbps untuk menikmati permainan pada kadar resolusi 4K.

Google Stadia

Untuk memainkan permainan melalui Stadia, pengguna hanya memerlukan pelayar web sahaja – selain turut boleh cast ia ke kaca televisyen melalui Chromecast.

Malah, untuk peringkat pengenalan, Google akan menawarkan Stadia Founder Edition pada harga $129 — yang mana hadir dengan alat kawalan khusus, Chromecast Ultra, langganan tiga bulan untuk Stadia Pro, dan juga permainan Destiny 2 : The Collection.

Google Stadia

Buat masa ini, antara penerbit yang telah menyatakan sokongan untuk Stadia adalah termasuk Ubisoft, Square Enix, dan juga Activision.

Apa pun, untuk pengguna tempatan, anda perlu nantikan untuk tempoh yang lama lagi memandangkan negara yang menyokong Stadia pada bulan November ini adalah terhad – iaitu di Amerika Syarikat, UK, Kanada, Belgium, Finland, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Netherlands, Norway, Sepanyol, dan juga Sweden.


TIPS & ULASAN