Bagi anda yang menggunakan peranti Huawei, mungkin sedia maklum yang mana aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp hadir dengan sedia terpasang, dan pengguna hanya perlu melakukan kemaskini kecil sebelum menggunakannya.
Hal ini dilihat berubah, dan kini Facebook dilaporkan tidak lagi membenarkan aplikasi mereka hadir terpasang pada peranti keluaran Huawei. Langkah ini dilihat selari dengan pengumuman kerajaan Amerika Syarikat yang menghalang perdagangan dengan pihak Huawei sebelum ini.
Walaubagaimanapun, pengguna masih boleh memuat-turun aplikasi berkenaan melalui Google Play Store buat masa ini, selain untuk pengguna sedia ada, anda masih boleh menerima kemaskini aplikasi seperti biasa.
Selain aplikasi daripada Facebook, Huawei juga sering menyertakan aplikasi Twitter dan Booking pada peranti mereka — yang mana masih tidak mengeluarkan sebarang komen berkaitan perubahan berkenaan buat masa ini.
Huawei sebelum ini telah memfailkan usul di mahkamah untuk menentang halangan ini, selain turut mengatakan mereka mempunyai langkah alternatif tersendiri untuk pasaran peranti mudah-alih sekiranya halangan perdagangan diteruskan oleh pihak Amerika Syarikat.