Carian
Malaysia Menerima 12 Dron ScanEagle Dari Amerika Syarikat Untuk Pemantauan Maritim
June 7, 2019 Effi Saharudin

Penggunaan dron oleh kesemua cabang pihak tentera kini dilakukan secara meluas. Malaysia juga akan menjadi antara negara dengan armada mereka sendiri selepas menerima 12 dron Insitu ScanEagle di bawah program Maritime Security Initiative kerajaan Amerika Syarikat.

Kos $19.34 juta (~RM 80 juta) melengkapkan ScanEagle untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Amerika Syarikat. Ini adalah inisiatif A.S untuk memberikan kelengkapan canggih kepada sekutu mereka di rantau Asia Tenggara bagi memantau aktiviti Republik Rakyat China di Laut China Selatan. Kesemua dron ScanEagle yang diberikan ini digunakan untuk tujuan pemantauan dan tidak berkemampuan membawa sebarang senjata.

Selain Malaysia, negara Indonesia, Filipina dan Vietnam turut masing-masing menerima 8, 8 dan 6 dron ScanEagle dari Amerika Syarikat. Ini juga adalah kali pertama sejak berakhirnya perang pada tahun 1975, sistem ketenteraan milik A.S diberikan kepada Vietnam.

Insitu ScanEagle boleh diterbangkan dari geladak kapal menggunakan sistem lentingan. Ia kemudian ditangkap dari udara menggunakan sistem penyangkut. Ia turut boleh terbang selama 20 jam berterusan, jarak operasi sehingga 100 kilometer dan kelajuan maksimum 150 km/j

Komen