Microsoft pada acara E3 2019 telah berkongsi mengenai Project Scarlett iaitu konsol Xbox generasi akan datang yang mana bakal dilancarkan pada akhir 2020. Bersama-sama dengan pengumuman ini, mereka juga berkongsi mengenai keserasian permainan Xbox sedia ada untuk digunakan pada Xbox akan datang.
Pada acara tersebut, Microsoft telah mengatakan bahawa mereka tidak lagi mengoptimasikan permainan Xbox dan Xbox 360 baru untuk diserasikan pada Xbox One. Bermakna, permainan Xbox dan Xbox 360 yang tidak dioptimasikan untuk Xbox One tidak dapat dimainkan pada konsol generasi terkini.
Walau bagaimanapun, Microsoft sebenarnya telah mengoptimasikan sebanyak 560 permainan Xbox 360 (daripada 2,104 buah permainan) untuk digunakan pada Xbox One. Ia masih sebuah katalog permainan yang besar, yang mana rata-ratanya permainan yang sedia terkenal dalam kalangan pemain.
Dengan pengumuman ini, Microsoft selepas ini akan memfokuskan kepada permainan Xbox sedia ada untuk diserasikan kepada pelbagai platform dan peranti. Microsoft juga komited dalam menawarkan permainan Xbox One untuk diserasikan pada Xbox generasi baru kelak.