Cari @ Amanz

Dua peranti baru dilancarkan hari ini iaitu HTC U19e dan Desire 19+. Seperti beberapa maklumat yang telahpun tertiris sebelum ini, kedua-duanya adalah peranti kelas pertengahan. HTC U19e dilengkapi skrin 6″ FHD+, dijana cip Snapdragon 710, memori sebesar 6GB RAM dan storan sebesar 128GB.

Kamera swafoto 24+2 Megapixel f/2.0 dipadakan dengan kamera utama 12+20 Megapixel f/1.8+f/2.6. Kamera utama ini mampu merakam video pada resolusi maksimum 4K. Terdapat sokongan sistem audio BoomSound dan bateri sebesar 3930mAh yang menyokong pengecasan QuickCharge 4.

Peranti boleh dinyahkunci menerusi sistem imbasan anak mata. Terdapat penyimbas cap jari fizikal pada bahagian belakang kepada yang memerlukannya. Seperti HTC U12+ sebelum ini, U19e turut mempunyai rekaan panel belakang lutcahaya yang menarik.

HTC Desire 19+ pula dilengkapi skrin 6.2-inch HD+ bertakuk kecil, dijana cip MediaTek Helio P35, memori sehingga 6GB RAM, storan sehingga 128GB, kamera swafoto 16-Megapixel, trikamera utama 13+8+5 Megapixel dan bateri sebesar 3850 mAh. Aneh sekali peranti ini menyokong sebarang pengecasan pantas.

Terdapat sistem imbasan wajah untuk nyahkunci dan juga pengimbas cap jari fizikal pada bahagian belakang. Kedua-dua HTC Desire 19+ dan U19e menggunakan sistem operasi Android Pie dengan pelancar HTC Sense. Pada masa yang sama sistem Side Sense juga tidak disertakan.

Di Taiwan HTC U19e dijual pada harga TWD 14,900 (~RM 1976) manakala HTC Desire 19+ dijual pada harga bermula TWD 9,990 (~RM 1234).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd