Dengan kecanggihan teknologi yang meningkat dari hari ke hari, banyak peranti pintar telah beralih daripada sistem 32-bit ke 64-bit. Dengan penggunaan sistem 64-bit yang semakin popular, Google dilihat akan menamatkan perisian pembangunan Android Studio bagi versi 64-bit.
Pengumuman ini dibuat melalui blog Android Developers, yang mana Google hanya akan memfokuskan kepada pengkomputeran 64-bit sahaja selepas ini. Mereka juga mengatakan bahawa komputer 64-bit dapat memberi akses memori yang lebih efisien, dalam menjalankan Android Studio dan Android Emulator.
Android Studio IDE 3.6 dan Android Emulator 28.0.25 akan menjadi versi perisian terakhir untuk sistem 32-bit, namun Google tetap akan menyokongnya sehingga 31 Disember 2020. Selepas daripada tarikh ini, sebarang muat-turun versi 32-bit ini tidak akan ditawarkan secara langsung oleh Google.
Walau bagaimanapun, perubahan ini tidak akan memberi impak kepada ramai pengguna kerana majoritinya sudah sedia menggunakan komputer 64-bit. Dengan perubahan ini, ia juga dapat meningkatkan pertumbuhan aplikasi 64-bit untuk Android, yang mana Google mula mewajibkannya bermula Ogos tahun ini.