Carian
Darah Jenis A Kini Berjaya Diubah Menjadi Darah Jenis O
June 12, 2019 Effi Saharudin

Darah jenis O adalah darah yang dikategorikan sebagai penderma universal. Tidak seperti dari jenis A, B dan AB, darah jenis O tidak mempunyai molekul gula yang dipanggil antigen darah. Antigen darah ini mengakibatkan darah jenis A tidak boleh dipindahkan kepada pesakit yang mempunyai darah jenis B. Sistem imun tubuh akan menyerang sel darah merah yang diterima.

Tetapi jumlah darah jenis O di tabung darah adalah rendah dan ini adalah mengapa sering kami melihat mesej tular meminta ia didermakan kepada sanak saudara yang menerima rawatan di hospital. Tetapi kajian terkini dari penyelidik dari University of British Columbia (UBC) telah menemui enzim yang mengubah darah jenis A menjadi darah jenis O.

Enzim dari bakteria Flavonifractor plautii  yang berasal dari perut didapati menghadam molekul gula antigen darah A. Ini sekaligus mengubahkan menjadi darah jenis O yang kemudiannya boleh digunakan sebagai darah penderma universal. Ini adalah berita baik kerana dianggarkan 1/3 darah yang didermakan adalah dari jenis A. Dengan penggunaan enzim ini, jumlah darah yang boleh digunakan untuk pemindahan akan meningkat.

Walaupun kajian menunjukkan kesan yang baik dalam mengubah jenis darah, kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan bagi memastikan ia selamat digunakan di dunia sebenar. Kajian ini telah diterbitkan di dalam jurnal Nature.

Komen