Pada masa kini, memulakan sesuatu di internet bukanlah satu perkara yang sukar. Ini kerana terdapat pelbagai media sosial dengan ramai pengguna, ditambah dengan kecanggihan peranti, penurunan kos pemilikan peranti, dan juga perkembangan infrastruktur yang membuatkan capaian internet lebih laju berbanding dahulu.
Namun disebalik kecanggihan ini, perlunya mereka yang ingin memulakan sesuatu di internet mempunyai semangat dan keyakinan dan tinggi. Memulakan acara perkongsian Facebook bersama media, adalah temuramah bersama Jay Shetty, iaitu pakar motivasi di Facebook yang mempunyai 23 juta pengikut.
Jay Shetty yang berasal dari England mempunyai latarbelakang yang menarik. Beliau merupakan bekas sami, dan menjalani kehidupan sebagai seorang sami selama 3 tahun bermula dari umur 22 tahun setelah menghabiskan pelajaran di universiti.
Dalam tempoh tersebut, beliau belajar mengenai kemanusiaan, terlibat dalam aktiviti kebajikan seperti membantu golonga yang dalam kesusahan, dan meneroka sisi personaliti beliau sehinggalah selepas 3 tahun, gurunya mencadangkan supaya beliau keluar dari kehidupan sebagai seorang sami, untuk membantu manusia lain dengan apa yang telah beliau pelajari selama ini.
Bermula dengan Facebook.
Namun untuk memulakan sesuatu bukanlah satu perkara yang mudah. Ramai antara pengguna yang rata-rata gusar atau tidak berkeyakinan untuk memulakan sesuatu lebih-lebih lagi pada platform atas-talian. Perkara yang sama berlaku pada Jay Shetty, dan bagi memulakan perkongsian ilmu dan pendapat, beliau memilih Facebook.
Beliau memilih untuk bermula dengan Facebook kerana pada pendapat beliau, keluarga dan sahabat terdekat yang akan menyokong apa yang beliau akan lakukan. Dan dari permulaan tersebut, beliau mengorak langkah pertama bagi mendapatkan pengikut yang kini bukan sahaja mengikuti kemaskini beliau secara maya, bahkan mempunyai acara di bandar-bandar tertentu.
Gerak Kerja Dan Penghasilan Karya
Salah satu gerak kerja yang diamalkan Jay Shetty tampak banyak. Malah beliau telah mencuba untuk menghasilkan banyak video, dan bagi mendekatkan diri dengan pembaca, beliau secara konsistennya telah mengadakan sesi FB Live 5 kali setiap minggu, dan ini berterusan selama 9 bulan. Konsistensi aktiviti di Facebook merupakan kunci kejayaan dalam membina trafik dan pengikut supaya sentiasa bertambah.
Dalam tempoh ini, beliau juga telah mula mengenali pengikut tegar yang senantiasa memberikan sokongan mahupun maklum balas. Nama-nama mereka yang kerap menonton dan memberikan komen, boleh diingat dan ini sekaligus membuatkan komunikasi dua-hala lebih baik, membuahkan hasil berpanjangan.
Terdapat dua fungsi yang kerap digunakan oleh Jay Shetty iaitu Live dan juga Groups. Menurut beliau, perkongsian siaran langsung FB Live merupakan salah satu fungsi yang lebih mendekatkan diri dan menjadikan setiap sesi lebih intim bersama pengikut. Ini kerana setiap soalan dapat dijawab secara terus, dan memberikan keyakinan kepada pengikut.
Sementara fungsi kedua yang disukai beliau adalah FB Group. Dengan fungsi Group, ia dapat mengembangkan komuniti pengikut dan membolehkan mereka berinteraksi dan membantu antara satu sama lain. Malah Group beliau agak aktif, dan mengadakan pelbagai acara dan perjumpaan meskipun berlainan bandar dan negara.
Bagi menutup sesi perkongsian, beliau menambah bahawa adalah penting untuk pencipta kandungan, baik sebagai pakar motivasi, atau untuk topik apa sekalipun, penting untuk memastikan kelangsungan operasi. Ada sesetengah pembangun komuniti berpendapat mendapatkan wang pengiklanan merupakan salah satu cara yang tidak jujur atau melanggar etika.
Nasihat beliau, jika difikirkan pembangunan kandungan sememangnya memerlukan kos yang tinggi. Untuk setiap wang pengiklanan yang diperoleh, membolehkan beliau menghasilkan kandungan yang lebih bermutu tinggi. Justeru ia merupakan satu kitaran yang akan dihadapi pencipta kandungan, dimana perlu bermula dari satu titik, dan apabila mendapat rentak dan mula menerima sambutan menggalakkan, ia perlu berkesinambungan dengan sokongan kewangan.
Barulah dapat menguntungkan komuniti, dan juga menjamin survival pencipta kandungan.