Motorola sebelum ini telah melancarkan Motorola One Vision iaitu peranti yang menawarkan skrin 21:9. Mereka kini nampaknya ingin melancarkan sebuah lagi peranti di bawah siri ini, yang mana bakal dikenali sebagai Motorola One Action.
Motorola One Action ini dilihat membawa penawaran yang lebih berpatutan berbanding Motorola One Vision. Dengan penjenamaan “Action”, ia dilaporkan akan hadir dengan binaan yang lebih direka untuk tahan lasak. Ia dijangka hadir dengan binaan berasaskan polikarbonat pada bahagian belakang, berbanding rekaan kaca 4D yang lebih kelihatan premium.
Untuk rekaan hadapan, Motorola One Action akan menawarkan paparan 6.3-inci dengan resolusi 2520 x 1080. Ia juga bakal membawa nisbah paparan yang serupa seperti One Vision, dengan menyertakan nisbah 21:9 yang lebih lebar. Untuk membolehkan ia mencapai paparan skrin penuh, ia juga akan menyertakan kamera swafoto pada bahagian berlubang di hadapan peranti.
Seperti Motorola One Vision, cip pemprosesan One Action akan dijana dengan Samsung Exynos 9609. Ia dijangka akan hadir dengan memori 4GB RAM, selain menawarkan variasi yang lebih rendah melalui 3GB RAM. Tidak seperti One Vision, peranti ini dijangka akan hadir dengan tiga pilihan storan iaitu 32GB, 64GB, dan 128GB (dengan storan UFS 2.1).
Keupayaan kamera utamanya tidak membawa sensor 48MP seperti One Vision, namun dijangka akan menyertakan sensor 12.6MP. Ia juga bakal menyertakan kapasiti bateri 3500 mAh dan mungkin akan dijana dengan Android 9.0 Pie berasaskan tampilan Android asli.
Walau bagaimanapun, tarikh pelancaran Motorola One Action ini masih tidak diketahui setakat ini. Sekiranya ia dilancarkan kelak, ia bakal menambah pilihan peranti dengan skrin 21:9 yang mula dipopularkan oleh Sony Xperia 1.