Carian
HP
HP Mengemaskini Siri Komputer Riba Permainan Omen Dan Pavilion Dengan Cip Intel Generasi Ke-9 Dan GTX 1660 Ti MaxQ
June 13, 2019 Fahim Zahar

Sebentar tadi HP telah pun melancarkan komputer riba premium mereka, Spectre Folio 13 dan mengemaskini beberapa ultrabook lain dan komputer riba lain yang memfokuskan produktiviti dalam siri Envy dan Pavilion. Bersama-sama dengannya, HP turut mengemaskini komputer riba memfokuskan permainan mereka – siri Omen dan Pavilion.

HP Omen 15 adalah salah satu daripadanya. Siri Omen kali ini dijana dengan pilihan cip Intel Core i5/i7/i9 generasi kesembilan. Untuk kad grafik pula ia daripada siri RTX 2060 atau 2070 MaxQ yang dipadankan dengan memori sehingga 32GB RAM. Untuk storan dalaman pula, pengguna boleh pilih sehingga 2TB HDD dengan gabungan SSD 256GB atau juga storan jenis Intel Optane yang menggabungkan memori 32GB + 512GB.

Skrin Omen 15 adalah 15.6″, port sambungan adalah 1x USB-C Thunderbolt (untuk model terpilih sahaja), 1x USB-C (model GTX1650 sahaja), 1x USB-A yang boleh mengecas peranti lain dan 2x USB-A untuk pemindahan data. Mengikut model yang terpilih, pengguna akan menerima komputer riba dengan saiz bateri 52Wh atau 69Wh dengan pengecas 150W atau 200W. Harga jualan adalah dari RM6,399 sahaja.

Jika anda rasakan HP Omen 15 ini mahal, siri Pavilion Gaming turut dikemaskini dengan cip Intel Core i5/i7 generasi kesembilan juga. Ia dipadankan dengan kad grafik GTX 1050/1650/1660 MaxQ bersama-sama dengan memori sehingga 32GB RAM dan storan dalaman sehingga gabungan 1TB HDD + 512GB SSD.

Skrin komputer riba ini juga adalah 15.6” dengan port sambungan 1x USB-C yang menyokong USB-PD 3.0, 1x USB-A (HP Sleep and Charge) dan 2x USB-A untuk pemindahan data. Untuk bateri ia hanya mempunyai bateri 52.5 Wh dengan pilihan pengecasan dari 135W hingga 200W. Harga jualan pula adalah RM2,979 untuk spesifikasi yang paling asas.

Kedua-dua komputer riba yang memfokuskan permainan ini hanya siri Pavilion sahaja yang sudah dijual. Untuk siri Omen, HP akan umumkannya di kemudian hari.

Komen