Sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas Huawei telah menyebabkan Huawei tidak dapat menjalinkan sebarang hubungan perniagaan bersama-sama syarikat di sana. Antara perkara yang terkesan adalah kerjasama mereka bersama Google, kerana mereka tidak dapat menggunakan Android yang disertakan dengan sokongan Play Store.
Oleh disebabkan itu, Huawei dilaporkan sedang membangunkan HongMeng OS iaitu “pelan B” sekiranya mereka mula dihalang daripada menggunakan Android oleh Google. HongMeng OS dilaporkan masih dibina berasaskan Android, sekaligus membenarkan sejumlah aplikasi Android masih boleh dipasang pada peranti pengguna.
Namun begitu, apakah akan jadi sekiranya Android juga dihalang untuk digunakan? Sebagai langkah persediaan, Huawei juga dilaporkan akan hadir dengan pilihan lain, iaitu dengan menggunakan Sailfish OS yang telah diolah.
Perkara ini dilaporkan oleh sebuah penerbitan di Rusia, The Bell, yang mana Huawei sedang menguji Aurora OS – sebuah sistem operasi Sailfish OS yang diolah (atau terma tepatnya fork). Menurut The Bell, Huawei telah menguji Aurora OS pada beberapa peranti mereka untuk melihat sebarang peluang dan kemungkinan yang ada.
Sailfish OS boleh dikatakan masih tidak mampu untuk menjadi sistem operasi yang popular, namun ia berjaya menarik pengguna atas penawaran privasi dan sekuriti yang tinggi.
Bagi yang kurang mengenali Sailfish OS, ia merupakan sistem operasi berasaskan keluarga Linux yang mempunyai kawalan gesture yang menarik. Sistem operasi ini sebenarnya berevolusi daripada Meego OS, iaitu sistem operasi yang pernah digunakan pada Nokia N9.
Apa yang menarik, Sailfish OS dapat menjalankan sejumlah aplikasi Android, dengan menjadikan Alien Dalvik sebagai sebagai Android compatibility layer. Ia tidak dijalankan berasaskan emulator, tetapi sebaliknya, dengan mengimplementasikan sejumlah Android API di dalamnya untuk penawaran prestasi yang lebih pantas. Pendekatan ini diibaratkan seperti perisian WINE, yang mana Linux dapat menjalankan perisian Windows tanpa perlu melalui proses emulation.
Eksplorasi Huawei terhadap Sailfish OS yang diolah ini mungkin membolehkan mereka menyediakan “pelan C”, sekiranya mereka turut dihalang daripada menggunakan Android berasaskan AOSP. Namun begitu, perkara ini hanya diperingkat ura-ura dan pastinya Huawei sedang menyediakan sistem operasi yang mampu memberi manfaat kepada mereka dan pengguna.