Elon Musk telah membuat kemunculan pada acara E3 2019 dalam berkongsi perkara seperti permainan video, angkasa lepas, dan industri automatif. Antara perkara yang menarik perhatian ramai adalah penyertaan aplikasi penstriman dan permainan yang bakal disertakan di dalam kenderaan Tesla.
Pada acara tersebut, beliau telah berkongsi beberapa matlamat menarik yang akan dicapai di dalam kenderaan Tesla. Beliau ingin membolehkan pengguna menonton video di Netflix dan Youtube sewaktu kenderaan berada dalam mod parkir.
A racing game for @Tesla you can use the steering wheel with!? 🤯Thank you @elonmusk! #E3Coliseum pic.twitter.com/npzrts78aA
— The Game Awards (@thegameawards) June 13, 2019
Selain daripada perkongsian untuk sokongan penstriman, beliau juga telah memperlihatkan dua permainan video yang sedang dibangunkan untuk kenderaan Tesla. Permainan pertama ialah permainan berasaskan penceritaan, dan seterusnya adalah permainan bercorak perlumbaan. Menariknya, permainan perlumbaan yang dikenali sebagai Beach Buggy Racing 2 boleh dikawal menggunakan stering kenderaan tersebut.
Selain daripada permainan yang diperlihatkan, Elon juga mengesahkan bahawa permainan Fallout Shelter bakal boleh dimainkan di dalam kenderaan Tesla. Permainan ini memerlukan pengguna membina kubu bawah tanah, dan menguruskannya dengan baik untuk menjaga kelangsungan permainan.
Kesemua fungsi ini bakal ditawarkan melalui kemaskini, namun tiada sebarang tarikh diumumkan untuk pengeluarannya. Apa yang pasti, kesemua fungsi ini pastinya tidak dapat dimainkan ketika kenderaan bergerak, dan hanya dapat dimainkan ketika ia diparkir.