SKMM hari ini berkongsi mengatakan pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan telah berikrar untuk meningkatkan khidmat pelanggan dalam memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna tempatan. Perkara ini disertai oleh sejumlah syarikat telekomunikasi tempatan, termasuk Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, TIME, U Mobile dan juga YTL.
Salah satu fokus utama padanya adalah dalam memastikan aduan pelanggan diselesaikan dengan lebih pantas lagi. Pada hari ini, mengikut apa yang ditetapkan, 90% daripada aduan yang diterima perlu diselesaikan dalam masa 15 hari, sementara 95% dalam masa 30 hari.
Bergerak kehadapan, syarikat telekomunikasi berikrar untuk menyelesaikan pelbagai aduan dalam masa tiga hari, tetapi aduan yang sedikit kompleks dalam masa 15 hari.
Perubahan ini dijangka mula berkuat-kuasa menjelang suku terakhir 2019 ini.
Pada masa yang sama, pengiklanan juga perlulah menerangkan pelbagai perkara dengan baik kepada pengguna, dan tidak memberikan gambaran yang salah.
Menurut SKMM, pada hari ini, di Malaysia terdapat lebih kurang 42.9 juta pelanggan perkhidmatan selular, selain 41.5 juta pelanggan jalur-lebar. Dengan perubahan baru ini, ia dijangka akan terus meningkatkan mutu prestasi dan perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia.