Carian
Google Kini Memaparkan Bahagian Video YouTube Yang Relevan Untuk Carian Yang Dilakukan
June 16, 2019 Effi Saharudin

Hanya dua minggu yang lalu saya melakukan carian bagaimana ingin membaiki peti sejuk yang tidak menyejukkan bahagian bawah. Ini berlaku kerana terdapat halangan pada bahagian pembeku. Masalah diselesaikan dengan menonton tutorial YouTube sahaja. Tetapi video sepanjang lapan minit perlu ditonton sedangkan maklumat yang relevan terletak di bahagian tengah.

Google hari ini mula memaparkan bahagian video yang paling relevan kepada carian yang anda lakukan. Sebagai contoh jika carian bagaimana membaiki paip bocor, Google akan memberikan cadangan menonton dari saat ke 42 pada video tutorial YouTube yang dipaparkan.

Fungsi ini ditemui oleh laman Android Police dan diberikan kepada sebilangan pengguna sahaja terlebih dahulu. Aneh sekali kami dapat mengakses fungsi ini pada peranti iPhone tetapi tidak pada peranti Android yang dimiliki.

Dengan adanya fungsi melangkau ke bahagian paling diperlukan untuk melakukan sesuatu, pengguna tidak perlu menonton keseluruhan video yang panjang. Adakah anda antara insan yang telah menerima fungsi baharu ini?

Komen