Carian
Instagram Menguji Cara Mudah Untuk Mendapatkan Kembali Akaun Yang Digodam
June 17, 2019 Nazrin

Platform perkongsian gambar dan video Instagram boleh dikatakan seringkali mengalami masalah dimana akaun-akaunnya sering digodam oleh individu ataupun kumpulan yang tidak dikenali.

Jika akaun Instagram anda digodam, satu-satunya cara untuk cuba mendapatkannya kembali ialah dengan mengisi borang atas talian, dan berharap bahawa perkhidmatan pelanggan platform tersebut dapat mengembalikan akaun tersebut kepada anda.

Instagram kini dikatakan sedang menguji sebuah cara baru yang lebih mudah untuk mendapatkan kembali akaun-akaun yang digodam, dimana pemilik akaun tersebut akan diminta untuk memberi alamat emel yang digunakan untuk mendaftar akaun tersebut, ataupun nombor telefon yang disambung kepadanya.

Pihak Instagram kemudiannya akan menghantar kod enam digit kepada alamat emel ataupun nombor telefon tersebut, dan selepas kod tersebut diinput, akaun tersebut akan disekat aksesnya daripada penggodam tersebut, sekaligus mengembalikan akaun tersebut kepada pengguna asalnya.

Dalam pada itu, Instagram turut memperkenalkan satu lagi ciri baru dimana jika nama pengguna Instagram ditukar, nama tersebut tidak boleh digunakan untuk beberapa jam selepas pertukaran tersebut dilakukan. Ciri ini sudahpun tiba untuk pengguna di platform Android, dan sedang dikeluarkan untuk pengguna iOS.

Buat masa ini, Instagram masih belum mengumumkan lagi bilakah ciri sekuriti terbaru ini akan dilancarkan untuk semua pengguna Instagram, tetapi kami dapat rasakan bahawa ramai pengguna akan ingin ciri tersebut hadir secepat yang mungkin untuk mengekang isu godaman yang sering berlaku pada akaun-akaun Instagram setiap hari.

Komen