Ulasan: Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) – Tablet Dengan S-Pen & LTE Pada Harga RM1099

Ulasan: Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) – Tablet Dengan S-Pen & LTE Pada Harga RM1099

Diterbitkan pada June 17, 2019 oleh .

Galaxy Tab A (2019, 8.0″, LTE)
Skrin 8.0”, IPS LCD
1920 x 1200, 283 ppi
Chipset Samsung Exynos 7904
CPU 2 x Cortex-A73 1.8 GHz
6 x Cortex-A53 1.6 GHz
GPU Mali-G71 MP2
Memori 3GB RAM
Storan 32GB + mikroSD
Kamera Utama 8MP f/2.0
[email protected]
Kamera Hadapan 5MP f/2.2
[email protected]
Sambungan WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
A-GPS, GLONASS
USB-C
Sistem Samsung One UI 1.0
Android 9.0 Pie
Bateri 4200 mAh
Pengecasan 10W
Dimensi 201.5 x 122.4 x 8.9 mm
Berat & Ketebalan 185.6g, 8.9mm
Tempoh
Penggunaan
2 minggu

Walaupun pasaran tablet Android kian perlahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun masih terdapat mengeluar yang aktif dalam menghasilkan peranti jenis ini. Antaranya Huawei yang sedia menghasilkan MediaPad, selain Xiaomi yang masih mengeluarkan siri Mi Pad mereka. Tetapi pengeluar yang konsisten dalam penghasilan tablet Android ialah Samsung, yang mana terkenal dengan penghasilan siri Galaxy Tab.

Apa yang menarik tentang Galaxy Tab, mereka mempunyai sejumlah model yang dikelaskan mengikut segmen harga. Seperti contoh, siri Galaxy Tab S mempunyai tanda yang lebih tinggi kerana ia direka untuk penggunaan yang lebih berkuasa. Sementara Galaxy Tab A, ia direka untuk kegunaan harian dan dijual pada harga yang lebih mampu milik.

Pada tahun ini, Samsung telah mengemaskini siri Galaxy Tab A dengan sejumlah penawaran moden. Antaranya cip pemprosesan yang lebih efisien, sokongan Bluetooth 5.0, dan menyokong sistem operasi Android yang lebih terkini. Apa yang menarik, ia juga menyertakan sokongan S-Pen yang lebih responsif, seperti mana yang ditawarkan pada siri telefon Galaxy Note.

Salah satu model yang telah menarik perhatian kami ialah Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) kerana ia menyajikan rekaan yang seimbang untuk kegunaan harian. Ia mempunyai skrin 8-inci Full HD, sokongan LTE, dan dijana dengan Samsung One UI berasaskan Android 9.0 Pie. Ia juga menyertakan stylus S-Pen secara terbina tanpa perlu anda mendapatkannya secara berasingan.

Rekaan

Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) dengan S-Pen telah hadir dengan spesifikasi kelas pertengahan, seperti kehadiran skrin 8.0-inci IPS LCD Full HD+ dengan nisbah 16:10, cip Exynos 7904, memori 3GB RAM, dan storan dalaman 32GB berserta sokongan mikroSD. Ia juga menawarkan beberapa sambungan terkini seperti Wi-Fi 802.11 b/g/n/ac, Bluetooth 5.0, bersama kapasiti bateri 4200 mAh.

Apabila anda memegang peranti ini, anda akan sukakan rekaannya yang selesa untuk digunakan. Ia tidak terlalu besar dan masih mampu untuk dipegang pada sebelah tangan. Binaan belakangnya juga mempunyai tekstur bergetah, yang mana mengurangkan peranti ini tergelincir daripada tangan. Ia juga tidak terlalu berat, sekaligus memudahkan anda memegang peranti ini dalam jangka masa yang lama.

Dari segi sambungan, peranti ini telah membawakan sambungan berasaskan USB-C di bahagian bawah, bersama-sama bicu audio 3.5mm pada bahagian atas. Pembesar suaranya ditempatkan di bahagian bawah, dengan pengeluaran audio berasaskan mono. Namun begitu, prestasi audionya kedengaran sangat memuaskan, dengan memberi kelantangan bunyi yang lantang. Pada bahagian siri kanan peranti, ia menempatkan butang kuasa bersama butang pelarasan suara. Pada bahagian sisi kiri peranti, ia hadir dengan slot mikroSD, bersama slot SIM untuk sokongan panggilan dan LTE.

Peranti ini turut menyertakan S-Pen di bahagian bawah, yang mana boleh disimpan dan dikeluarkan dengan mudah. Tip pada stylus ini sensitif terhadap tekanan, jadi ia memberi kesan lakaran yang berbeza apabila ditekan. Ia juga mempunyai butang pada bahagian sisinya, yang mana dapat mengeluarkan paparan Air Command. Ia juga tidak mempunyai bateri di dalammnya, sekaligus tidak memerlukan anda mengecasnya.

Rekaan hadapannya hadir dengan paparan IPS LCD sebesar 8.0-inci, dengan resolusi 1920 x 1200 pada nisbah 16:10. Dengan penyertaan resolusi Full HD, paparan berasaskan teks dapat dipaparkan dengan baik, namun ia masih memberi penampakan piksel yang sedikit menyerlah. Darjah pandangannya juga dilihat sedikit lemah, sekaligus memberi penampakan skrin yang terhad apabila dilihat dari sisi berlainan.

Dari segi variasi, Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) telah ditawarkan dalam satu variasi sahaja iaitu 3GB RAM bersama storan 32GB di Malaysia. Sekiranya storan 32GB ini tidak mencukupi untuk anda, ia masih menawarkan slot kad mikroSD – dengan sokongan penambahan storan sehingga 512GB. Untuk pilihan warnanya, ia telah ditawarkan dalam dua pilihan warna, menerusi warna putih dan hitam.

Sistem

Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) dengan S-Pen telah dijana dengan antaramuka Samsung One UI 1.0 berasaskan Android 9.0 Pie. Antaramuka ini menyajikan paparan yang sangat kemas dan moden, selari dengan apa yang ditawarkan pada Android 9.0 Pie. Rekaan ikonnya juga kelihatan lebih ringkas, disamping menyajikan tetapan yang teratur pada bahagian settings. Paparan talam notifikasinya juga telah dikemaskini, dengan penyertaan butang berbentuk bulat untuk mengakses sejumlah tetapan kawalan.

Dengan janaan Samsung One UI, tablet ini dapat menikmati fungsi multitasking yang berkuasa untuk menjalankan berbilang aplikasi. Aplikasi yang dijalankan boleh dikecilkan dalam bentuk window dan boleh diubah dari segi saiznya. Ia juga menyokong fungsi minimize, yang mana aplikasi yang berjalan ini akan dikecilkan menjadi butang dalam bentuk terapung.

Samsung One UI turut menyertakan sejumlah fungsi menarik seperti sokongan tema berwarna gelap untuk memberi keselesaan kepada mata anda. Dengan kehadiran Android 9.0 Pie, ia juga menawarkan fungsi Digital Wellbeing untuk memudahkan pengguna memantau masa penggunaan peranti. Anda juga masih diberi pilihan untuk mengaktifkan fungsi Smart Stay untuk menahan nyalaan skrin daripada dimatikan. Apabila anda menyambungkan peranti ini ke aksesori audio, ia turut menyajikan fungsi Dolby Atmos untuk pendengaran audio yang lebih imersif.

Prestasi

Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) telah dijana dengan cip kelas pertengahan, menerusi Samsung Exynos 7904 bersama penggunaan memori 3GB RAM. Cip ini hadir rekaan cip lapan-teras, menerusi 2 x Cortex-A73 1.8 GHz + 6 x Cortex-A53 1.6 GHz, bersama penggunaan GPU Mali-G72 MP2. Cip ini sebenarnya turut dijana pada Galaxy M20 dan Galaxy A30, yang mana kedua-duanya merupakan model telefon Samsung terkini.

Melalui ujian penanda aras seperti AnTuTu Benchmark, peranti ini berjaya meraih mata sekitar 94,831. Melalui bacaan ini, ia memperlihatkan prestasi di belakang Snapdragon 636, iaitu cip yang digunakan pada Redmi Note 5. Untuk memudahkan anda membandingkannya, cip Snapdragon 636 mampu meraih mata sebanyak 114,648, sementara Snapdragon 660 mampu mendapatkan mata sekitar 143,589.

Untuk kegunaan di dunia sebenar, cip ini mampu menjalankan tugasan harian dengan baik, seperti kegunaan media sosial atau pelayaran web. Cuma ia masih terdapat isu prestasi seperti stutter terutama ketika menukar, membuka, dan keluar daripada aplikasi. Untuk prestasi permainannya, ia dapat memainkan permainan kasual dengan sangat lancar dan tidak memberi sebarang isu. Cuma permainan seperti PUBG Mobile dan Asphalt 9, kualiti grafiknya kelihatan sangat rendah dan tidak mampu memberi frame rate yang konsisten.

Kamera

Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) dengan S-Pen turut membawakan keupayaan penggambaran asas untuk kegunaan harian anda. Ia menempatkan sensor utama 8MP f/2.0 yang turut disertakan dengan keupayaan autofokus. Kamera hadapannya hadir dengan sensor 5MP f/2.2 untuk kegunaan panggilan video dan swafoto.

Walaupun ia dilengkapi dengan penggambaran asas, hasilnya dilihat masih memadai untuk kegunaan harian. Apabila digunakan pada pencahayaan yang terang, ia mampu memberi kualiti yang menarik, dengan perwarnaan yang menyerlah. Cuma apabila ia digunakan pada situasi pencahayaan rendah, ia memberikan kualiti yang soft dan penampakan kesan hingar (noise) yang jelas.

Dari segi fungsi, tablet ini menawarkan rakaman video setinggi [email protected], namun tidak dilengkapi dengan penstabilan imej EIS. Ia juga menyajikan kebolehan Scene Optimizer iaitu fungsi yang dapat mengoptimasikan warna dan kadar kontras subjek berdasarkan pengecaman pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI). Ia juga hadir dengan fungsi Live Focus, namun hanya dihadkan untuk kegunaan kamera hadapan.

Bateri

Sebagai sebuah peranti tablet, ia menawarkan kapasiti bateri yang besar melalui kapasiti 4200 mAh. Namun kapasiti ini masih di belakang Mi Pad 4 yang mana ia menyertakan kapasiti 6000 mAh. Dengan binaan 14nm pada Exynos 7904, peranti ini dilihat mampu memberi masa penggunaan yang lama untuk kegunaan sepanjang hari.

Dengan kapasiti 4200 mAh dan padanan cip 14nm ini, Samsung Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) dengan S-Pen mampu mencatatkan masa Screen-on-Time (SoT) yang memuaskan, melalui bacaan SoT sekitar 6 – 7 jam untuk penggunaan sepanjang hari. Namun peranti ini tidak menyokong fungsi pengecasan pantas, jadi ia memerlukan masa sekitar 3 jam untuk mengecas penuh tablet ini.

Rumusan

Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) dengan S-Pen membawakan penawaran tablet yang menarik pada harga yang berpatutan untuk fungsinya. Ia menyajikan paparan skrin 8-inci Full HD, cip 14nm lapan-teras, sistem operasi Android 9.0 Pie. Tetapi apa yang menjadikannya lebih menarik, ia menawarkan sokongan Dolby Atmos untuk pendengaran melalui earphone, hadir dengan sokongan LTE, dan menyertakan penawaran S-Pen secara terbina.

Cuma sebelum anda membeli peranti ini, paparan skrinnya dilihat kurang memuaskan, kerana ia menyajikan darjah padangan yang sedikit terhad. Ia juga mempunyai sedikit isu lengah masa mikro ketika anda melakukan sejumlah perkara pada antaramuka Samsung One UI. Perkara ini mungkin berikutan daripada penawaran RAM yang rendah iaitu sebanyak 3GB RAM sahaja. Selain daripada prestasi, ia menyertakan fungsi imbasan wajah, namun prestasinya dilihat sedikit lambat ketika ingin membuka peranti.

Pro
  • Menawarkan rekaan yang seimbang dan selesa di tangan.
  • Hadir dengan resolusi Full HD.
  • Didatangkan dengan sokongan Dolby Atmos apabila peranti disambungkan ke aksesori audio.
  • Mempunyai pembesar suara mono yang lantang.
  • Menyokong Widevine L1 untuk tontonan HD pada perkhidmatan penstriman seperti di Netflix.
  • Sokongan S-Pen yang cemerlang untuk kegunaan lakaran.
  • Hadir dengan ketahanan bateri yang lama melalui kapasiti 4200 mAh.
  • Menawarkan sambungan USB-C.
  • Membawakan slot sim untuk sokongan panggilan dan LTE.
  • Hadir dengan keupayaan GPS.
  • Mempunyai sokongan kad mikroSD untuk penambahan storan luaran.
  • Dijana dengan Android 9.0 Pie bersama antaramuka Samsung One UI 1.0.
Kontra
  • Darjah pandangan skrin kurang memuaskan.
  • Prestasi harian terdapat sedikit lengah masa mikro.
  • Penawaran memori hanya 3GB RAM dan storan 32GB.
  • Prestasi imbasan wajah agak lambat.

Samsung Galaxy Tab A 8″ (2019) telah ditawarkan pada harga mampu-milik iaitu RM1099 untuk variasi LTE dan S-Pen. Ia ditujukan kepada semua golongan pengguna – lebih-lebih lagi yang mengumatakan aspek kasual, multimedia, dan penggunaan untuk lakaran. Ia menyajikan rekaan yang kompak, mudah untuk dibawa, dan mempunyai sokongan LTE secara terbina. Ia juga menyertakan sokongan S-Pen, sekaligus dapat menikmati fungsi lakaran seperti yang ditawarkan pada siri telefon Galaxy Note.


TIPS & ULASAN