Pandang Pertama: OnePlus 7 – Alternatif OnePlus 6T Yang Sedikit Lebih Berkuasa

Pandang Pertama: OnePlus 7 – Alternatif OnePlus 6T Yang Sedikit Lebih Berkuasa

Diterbitkan pada June 17, 2019 oleh .

OnePlus tahun ini telah membuat sesuatu yang baru dengan melancarkan sekali tiga peranti serentak; OnePlus 7, OnePlus 7 Pro dan OnePlus 7 Pro 5G. Fokus utama OnePlus adalah OnePlus 7 Pro kerana ia padat dengan ciri-ciri terbaik untuk sebuah peranti mercu. Pada hari penjualan, OnePlus hanya menjual OnePlus 7 Pro dan tidak menjual OnePlus 7. Ini adalah strategi seperti Apple, yang menjual iPhone XS/XS Max terlebih dahulu sebelum menjual iPhone XR.

 

Strategi perniagaan ini dinamakan sebagai decoy effect, kerana memberitahu pengguna yang OnePlus 7 masih akan ada banyak ciri/fungsi dari OnePlus 7 Pro – tetapi OnePlus 7 tidak dijual lagi. Mereka yang tidak sabar memiliki peranti baru, akhirnya tewas dan terpaksa membeli OnePlus 7 Pro yang mahal. Hari ini, saya berpeluang untuk mencuba OnePlus 7 dalam masa yang singkat – dalam artikel ini adalah padang pertama saya.

Spesifikasi

Seperti OnePlus 7 Pro, OnePlus 7 juga dijana dengan Snapdragon 855 dan dipadankan dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Mempunyai pembesar suara stereo, tiada port bicu audio 3.5mm dan storan berasaskan UFS 3.0 yang pantas. Sedikit mengecewakan adalah rekaan yang sangat mirip dengan OnePlus 6T, masih menggunakan skrin bertakuk dan tidak mempunyai motor getaran yang sesedap OnePlus 7 Pro.

Skrin OnePlus 7 bersaiz 6.41″ dari panel Optic AMOLED (yang sama sejak OnePlus 3), tiada sokongan HDR dan bosan dilihat – kerana warnanya tidak menarik dan tidak setajam OnePlus 7 Pro. Kamera pada peranti ini adalah dwi-lensa 48+5 Megapixel, yang mana lensa 48MP adalah lensa yang banyak pengeluar gunakan dan lensa kedua adalah lensa 5MP sensor kedalaman – yang kebanyakannya adalah gimik semata-mata. Tidak faham kenapa OnePlus lakukan sedemikian, sedangkan tetapan kamera seperti OnePlus 6T sudah cukup baik.

Kamera swafoto pula adalah 16MP yang biasa kita lihat pada peranti OnePlus. Kemudian kapasiti bateri pula adalah 3700mAh dengan sokongan pengecasan pantas 20W yang sudah dikitar sejak tahun 2016 – Dash Charging. Untuk sekuriti, OnePlus menyertakan pengimbas cap jari dalam skrin jenis optikal – yang sama dengan OnePlus 7 Pro. Ini bermakna ia adalah lebih pantas berbanding OnePlus 6T.

Pengalaman Penggunaan

Sebelum saya mencuba segala ciri dan fungsi yang hadir pada OnePlus 7, saya cuba getarannya terlebih dahulu. Kerana bertahun lamanya ramai membuat aduan yang motor getaran peranti OnePlus adalah lemah dan seakan peranti murahan. Sayang sekali, motor getaran yang 200% kali lebih baik itu hanya terhad kepada OnePlus 7 Pro sahaja. Ujian kedua yang saya lakukan adalah pembesar suara. Agak menakjubkan untuk OnePlus menyertakan pembesar suara stereo pada peranti ‘murah’ mereka. Atas percubaan saya, hasil audio yang menarik dan terbaik. Mengejutkan ia mempunyai bunyi yang cukup kuat dan bass yang memuaskan. Tidak sehebat pesaing, tetapi untuk OnePlus – ia adalah yang terbaik.

Kemudiannya, saya menguji kamera OnePlus 7. OnePlus 7 yang saya gunakan menjalankan Oxygen OS 9.5.5 yang sepatutnya sudah menerima kemaskini kamera yang baik. Namun atas percubaan saya, OnePlus 6T mempunyai hasil kamera yang lebih baik. Jelas di sini, OnePlus cuba untuk meniru Google dengan banyak menggunakan pasca-proses perisian selepas gambar diambil. Jadi dari segi gambar bokeh, OnePlus 7 adalah lebih baik. Tetapi secara keseluruhan, hasil gambar adalah lebih kurang sama sahaja. Jangan terpedaya dengan lensa 48MP, jadi OnePlus 7 akan lebih cantik. Bukan. Anda perlu ingat MP adalah saiz, bukan kualiti.

This slideshow requires JavaScript.

Begitu juga dengan gambar swafoto. Ia adalah klise hasil gambar yang sama dengan kebanyakan peranti OnePlus, seperti OnePlus 6 atau 6T. Saya teruskan ujian saya kepada skrin pula. Skrin OnePlus 7 kelihatan sedikit malap. Agak mengecewakan, sepatutnya OnePlus sekurang-kurangnya berikan sokongan HDR. Ini langsung tidak ada, mata saya yang sudah biasa dengan kualiti skrin yang hebat pada OnePlus 7 Pro – terasa ia satu turun-taraf yang sangat mendadak. Akan tetapi, jika anda tidak pernah gunakan Pixel 3, Samsung Galaxy S10 atau juga OnePlus 7 Pro – skrin OnePlus 7 sebenarnya cukup baik. Cuma bukanlah yang terbaik dan pada saya kurang cantik. Oh ya, OnePlus 7 menggunakan skrin dengan kadar segar semula yang sama – 60hz.

Rekaan, seperti yang saya katakan tadi sangat sama dengan OnePlus 6T. Jadi ia bosan dan tidak mempunyai sebarang keunikan. Beza yang jelas adalah pembesar suara/earpiece pada bahagian atas kamera swafoto yang lebih panjang dan bonjol kamera yang sangat tebal. Lain-lain adalah sama sahaja. Jika anda ingin bandingkan warna, warna merah pada OnePlus 7 ini adalah lebih terang dan menyala berbanding warna merah OnePlus yang sebelum ini.

Konklusi

Sebelum saya tamatkan artikel saya, saya cuba simpulkan kesemua kebaikan yang ada pada OnePlus 7 ini. Yang pertama adalah pembesar suara stereo, kedua adalah storan berasaskan UFS3.0, ketiga adalah pengimbas cap jari yang lebih pantas dan akhir sekali adalah harga yang lebih murah.

Keburukan pula adalah, ia sama sahaja dengan OnePlus 6T, kedua kamera yang hanya sedikit lebih baik berbanding OnePlus 6T, sistem pengecasan pantas yang telah dikitar sejak 2016, panel AMOLED yang sama sejak 2016 juga, bonjol kamera yang sangat tebal, tiada keunikan atau identiti baharu dan banyak lagi.

Jadi, adakah OnePlus 7 ini berbaloi untuk dimiliki? Pada saya tidak. Dengan kewujudan OnePlus 7 ini, ia akan membuatkan keputusan membeli peranti anda menyesal dan OnePlus 7 Pro adalah lebih baik. Ya, harganya lebih murah berbanding OnePlus 6T – sekitar RM2199 (harga jualan import) untuk variasi 8/256GB.

Anda adalah pengguna bijak, pada saya OnePlus 7 adalah sesuai untuk pengguna OnePlus 5T ke bawah. Jika anda pengguna OnePlus 6/6T, OnePlus 7 Pro adalah peneman hidup anda. OnePlus 7 di tangan kami ini adalah unit import yang saya beli sendiri di China. Buat masa ini, XianFeng selaku pengedar sah OnePlus di Malaysia masih mendiamkan diri berkaitan tarikh penjualan OnePlus 7 di Malaysia.


TIPS & ULASAN