Carian
Facebook Mengumumkan Kriptowang “Libra” – Akan Dilancarkan Pada 2020
June 18, 2019 Aman

Selepas pelbagai spekulasi sebelum ini, hari ini Facebook secara rasminya mengumumkan yang mana mereka akan memperkenalkan kriptowang mereka tersendiri dinamakan Libra. Melengkapkan penawaran ini juga adalah Calibra yang akan berfungsi sebagai dompet digital untuk mata wang berkenaan.

Dengan ini juga, Facebook akan menawarkan perkhidmatan kewangan kepada pengguna dibawa platform mereka, selain turut membawa rangkaian Libra kepada pihak lain. Buat masa ini, terdapat sejumlah pihak menyatakan sokongan untuknya, termasuk Visa, MasterCard, PayPal, Uber, Spotify, eBay dan sebagainya.

Facebook ingin menyelesaikan beberapa perkara melalui penawaran Calibra ini. Yang utama adalah akses kepada perkhidmatan kewangan asas, selain mana pada masa yang sama memudahkan pengguna menghantar dan menerima kriptowang Libra dengan mudah antara negara. Dengan sokongan daripada pelbagai pihak, ia juga akan membuka peluang untuk pengguna membuat bayaran perkhidmatan, produk dan sebagainya.

Facebook Libra

Facebook turut menekankan yang mana mereka tidak akan berkongsi data pengguna antara Calibra dengan Facebook – yang mana bermakna data kewangan dan sebagainya tidak akan digunakan untuk pengiklanan yang ditujukan kepada anda.

Facebook akan menawarkan sokongan untuk Libra ini melalui aplikasi Messenger dan WhatsApp, selain mana turut menawarkan sebuah aplikasi dompet digital Calibra untuk pengurusan kewangan pada 2020 kelak.

Facebook Libra

Menariknya, pengguna turut boleh menggunakan dompet digital daripada pembangun lain yang menyokong Libra ini – sekaligus membuatkan pengguna tidak perlu terikat dengan platform Facebook untuk menggunakan kriptowang berkenaan.

Bercakap lanjut lagi, Facebook turut mengumumkan badan khas untuk memantau dan menguruskan Libra ini yang akan disertai oleh ramai pihak – sekaligus membuatkan keputusan akhir tidak bergantung kepada Facebook semata-mata, tetapi berdasarkan kepada undian dan keputusan pihak komiti berkenaan.

Komen