Komputer Riba Huawei Disenaraikan Kembali Oleh Pihak Microsoft Pada Kedai Atas-Talian Mereka

Komputer Riba Huawei Disenaraikan Kembali Oleh Pihak Microsoft Pada Kedai Atas-Talian Mereka

Diterbitkan pada June 18, 2019 oleh .

Microsoft sebelum ini telah membuang penyenaraian komputer riba Huawei daripada kedai atas-talian mereka pada bulan lepas. Hal ini dilakukan selari dengan arahan kerajaan Amerika Syarikat yang menghalang perdagangan dengan pihak Huawei disebabkan hal-hal sekuriti negara.

Walaubagaimanapun, hari ini perkara berkenaan berubah. Microsoft dilihat telah menyenaraikan komputer riba Huawei dibawah penawaran komputer berasaskan Windows 10 pada kedai atas-talian mereka. Ini sekaligus memperlihatkan MateBook 13, Matebook X Pro dan juga MateBook boleh dibeli terus melalui kedai atas-talian di Amerika Syarikat.

Bercakap mengenainya, pihak Microsoft mengatakan Microsoft Store sedang menjual produk sedia ada yang mana selari dengan perundangan Amerika Syarikat buat masa ini.

Selain hal ini, beberapa hari kebelakangan ini juga kita telah melihat pelbagai pihak melobi untuk meneruskan perniagaan dengan Huawei supaya tidak merugikan syarikat masing-masing.

Kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini telah memberikan tempoh selama tiga bulan untuk tujuan peralihan. Ia tidak diketahui lagi bagaimanakah hal ini akan berubah selepas tempoh berkenaan.


TIPS & ULASAN