Sejumlah Aplikasi Terbina Di Dalam Apple Watch Akan Dapat Dibuang Melalui watchOS 6

Sejumlah Aplikasi Terbina Di Dalam Apple Watch Akan Dapat Dibuang Melalui watchOS 6

Diterbitkan pada June 19, 2019 oleh .

Sejak daripada pengenalan watchOS versi awal, Apple telah meletakkan sejumlah aplikasi terbina pada Apple Watch dalam kuantiti yang besar. Pada watchOS 6, Apple telah menambahnya lagi, dengan penyertaan aplikasi App Store, Audiobooks, Calculator, Cycle Tracking, Noise, dan Voice Memos.

Pada saat ini, pengguna Apple Watch tidak dapat membuang aplikasi-aplikasi ini, yang mana berbeza dengan iOS yang sedia membolehkan pengguna membuang sejumlah aplikasi terbina. Namun bermula versi akhir watchOS 6 kelak, Apple bakal membenarkan pengguna membuang sejumlah aplikasi yang didatangkan bersama sistem operasi ini.

Seperti di iOS, pengguna boleh menekan lama pada mana-mana aplikasi untuk memasuki ‘jiggle mode‘, untuk memindah lokasi dan membuang sesuatu aplikasi. Pada saat ini, pengguna hanya boleh membuang aplikasi pihak ketiga sahaja dengan menekan butang (x) yang berada pada bahagian atas ikon aplikasi.

Apabila watchOS 6 tiba kepada pengguna, butang (x) ini turut akan berada pada sejumlah aplikasi yang didatangkan secara terbina.

Dengan penyertaan fungsi ini, anda boleh membuang aplikasi-aplikasi yang jarang digunakan oleh anda dengan mudah, sekaligus membolehkan paparan menu kelihatan lebih kemas tanpa lambakan aplikasi. watchOS 6 dijangka akan ditawarkan kepada pengguna pada sekitar pertengahan September ini kepada pengguna Apple Watch Series 1 dan ke atas.


TIPS & ULASAN