Cari @ Amanz

Empat tahun lalu Dainese mengeluarkan jaket keselamatan untuk penunggang motosikal yang mempunyai sistem beg udara terbina. Ia pada asalnya dihasilkan untuk pelumba MotoGP tetapi versi komersial dihasilkan bagi mengurangkan kecederaan serius pada penunggang motosikal. Dainese telah melancarkan versi terkini Smart Jacket mereka yang boleh dipakai seperti baju dalam yang hampir tidak kelihatan.

Perbezaan paling ketara pada Smart Jacket terkini adalah ia boleh dipakai bersama jaket biasa yang digunakan oleh penunggang. Beberapa imej yang dikongsi menunjukkan ia boleh dipakai di bawah jaket oleh ahli perniagaan dan juga oleh wanita. Pada versi terdahulu, Smart Jacket hanya boleh dipadankan dengan jaket kulit yang dikeluarkan oleh Dainese.

Pelbagai sensor mengesan pergerakan, pecutan dan lokasi GPS pengguna 1000 kali setiap saat. Apabila mengesan kemalangan, beg udara akan mengembang secara automatik. Bateri pada jaket membolehkan ia beroperasi sehingga 26 jam. Pasca kemalangan, beg udara gantian boleh dibeli dari pihak Dainese. Dainese Smart Jacket akan dilancarkan pada musim panas pada harga $699 (~RM 2920). Ini adalah harga lebih mampu milik berbanding air bermula €1499 empat tahun lalu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd