Jika anda seorang yang gemar menonton filem pada kualiti BluRay pada resolusi setinggi 4K, anda ada beberapa pilihan untuk menggunakan televisyen beresolusi tinggi, ataupun projektor, bergantung kepada lokasi dan saiz bilik ataupun lokasi pengguna.
BenQ hari ini telah mengumumkan kehadiran dua projektor terbaru yang hadir dengan resolusi 4K dan beberapa ciri dan teknologi penggambaran yang lain yang dinamakan BenQ W2700 dan juga BenQ W5700.
Kedua-dua projektor BenQ W2700 dan BenQ W5700 ini hadir dengan kebolehan untuk memancar paparan bersaiz 100 inci beresolusi 4K (3840×2160) pada jarak 2.5 meter (BenQ W2700) dan 3.0 meter (BenQ W5700).
Kedua-dua model projektor ini, yang diletakkan dibawah jenama CinePrime hadir dengan ciri-ciri yang mengutamakan ketepatan dan kejituan warna untuk memastikan semua filem yang ditonton kelihatan sama seperti apa yang diingini oleh pembikin-pembikin filem.
Untuk menjadikan visi tersebut menjadi kenyataan, BenQ memuatkan kedua-dua projektor ini dengan teknologi CinematicColor yang terdiri daripada sokongan ruang warna DCI-P3 100 peratus untuk model W5700 dan 95 peratus untuk model W2700. Mereka juga hadir dengan sokongan 100 peratus untuk ruang warna Rec. 709.
Selain dari itu, projektor-projektor ini juga hadir dengan ciri HDR 10 dan Hybrid Log Gamma (HLG), iaitu sebuah format HDR yang dicipta oleh BBC dan juga NHK yang juga merupakan format terbuka yang boleh digunakan oleh sesiapa, dan menjanjikan kualiti warna yang jitu dan juga sangat bertenaga.
Projektor BenQ W2700 dan BenQ W5700 ini akan tiba di pasaran tempatan pada penghujung Julai kelak, dan akan dijual pada harga RM7399 (W2700) dan RM10,999 (W5700).