Microsoft Mungkin Akan Menyertakan Paparan Skrin Kecil Pada Surface Pen

Microsoft Mungkin Akan Menyertakan Paparan Skrin Kecil Pada Surface Pen

Diterbitkan pada June 19, 2019 oleh .

Surface Pen merupakan stylus yang dijadikan sebagai aksesori lakaran bagi produk Microsoft Surface. Aksesori ini nampaknya mungkin akan mempunyai rekaan baru, dengan perletakkan paparan dalam bentuk skrin kecil. Ia nampaknya bukan sahaja untuk melakar, tetapi akan menggalas sejumlah perkara baru seperti perletakkan alatan dan butang digital.

Perkara ini diperlihatkan melalui paten yang tertiris pada halaman Windows Latest. Paten ini memperlihatkan gambaran bentuk stylus ini, bersama paparan kecil yang ditempatkan pada bahagian tengah. Rekaan stylus ini juga kelihatan lebih berpetak dan nipis, apabila dibandingkan dengan rekaan membulat pada Surface Pen terdahulu.

Paparan ini dijangka akan menyertakan sejumlah alatan untuk memudahkan anda menukar seperti berus, pencil, dan pemadam pada aplikasi lakaran. Ketika menggunakan aplikasi lain seperti pelayar web, ia juga boleh disertakan dengan butang pintas untuk melakar dan membuat tangkapan skrin.

Selain daripada perletakkan sesuatu alatan digital, ia juga dijangka dapat memaparkan status bateri, notifikasi, dan sejumlah e-mel yang diterima terus pada paparan ini.

Walaupun paten ini dilihat menarik, ia masih tidak diketahui sama ada ia akan dijadikan sebagai produk akhir kepada pengguna. Namun sekiranya ia berjaya menjadi realiti, aksesori ini pastinya akan dapat memudahkan pengguna melakukan tugasan dengan lebih pantas, terutama dalam membuat perkara-perkara kreatif.


TIPS & ULASAN