Cari @ Amanz

Sebelum ini kami melaporkan Foxconn telah bersedia untuk memindahkan pengeluaran produk Apple keluar dari China jika diperlukan. Ini adalah bagi mengelakkan kadar tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas produk yang diimport masuk dari negara tersebut. Pagi ini Nikkei Asian Review melaporkan Apple juga telah bersedia untuk memindahkan pengilangan produk mereka keluar dari China dengan Malaysia antara negara yang sedang dipertimbangkan.

Menurut sumber Nikkei, wakil Apple telah mula berbincang dengan pembekal komponen untuk memindahkan 15-30% kapasiti pengilangan peranti keluar dari China. Apple akan tetap memindahkan pengeluaran ini tidak mengira jika tarif dikenakan oleh A.S ataupun tidak.

Selain Malaysia negara lain yang dipertimbangkan sebagai lokasi pengilangan baru ialah Mexico, Indonesia, India dan Vietnam. Pada waktu ini pengilangan produk khusus untuk pasaran India telahpun dilakukan di India.

Sekiranya Malaysia terpilih, ini tidak bermakna harga jualan produk Apple di negara kita akan berkurangan kerana ia dihasilkan untuk pasaran A.S. Sebelum ini Google telahpun memindahkan pengilangan produk Nest mereka ke Malaysia atas sebab mengelakkan tarif yang sama.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd