Sebelum wujudnya telefon pintar, permainan berpapan amat popular di kalangan kanak-kanak. Monopoly dan Sahiba adalah antara dua permainan berpapan yang kami sendiri miliki suatu ketika dahulu. Selari dengan peredaran zaman, Hasbro kini menawarkan Monopoly dengan modul sistem kawalan suara.
Monopoly Voice Banking mempunyai satu modul pada bahagian tengah yang mampu mendengar arahan suara pemain. Pembelian hartanah juga dilakukan dengan arahan suara seperti “Buy Trafalgar Square”. Kesemua kad Community Chest dan Chance juga digantikan oleh modul suara dengan arahan pada kad dibaca oleh modul. Pemain tidak lagi memegang wang tunai kerana kesemua wang disimpan secara elektronik. Pengguna tidak perlu risau mengenai privasi kerana modul kawalan suara yang digunakan tidak memerlukan sambungan Internet untuk digunakan.
Ini bukan kali pertama sistem elektronik diperkenalkan pada permainan Monopoly. Sebelum ini Hasbro melancarkan versi Ultimate Banking Edition yang hadir dengan kad kredit. Di Amerika Syarikt Monopoly Voice Banking dijual pada harga $30 (~RM124).