Cari @ Amanz

Microsoft pada tahun ini sedang dalam persediaan untuk menawarkan Microsoft Edge berasaskan enjin Chromium. Ia telah mula diuji pada Windows 10 dan macOS, dan kini ia telah diperluaskan ke Windows 7, Windows 8, dan Windows 8.1.

Ia telah ditawarkan melalui versi Canary, yang mana ia dijangka akan menerima kemaskini setiap hari. Untuk penawaran kemaskini yang lebih perlahan, anda mungkin boleh menunggu versi Dev yang akan ditawarkan dalam masa terdekat ini.

Microsoft mengatakan bahawa binaan Microsoft Edge ini tidak mempunyai sokongan tema berwarna gelap dan sokongan untuk membuat log masuk akaun Microsoft. Namun seperti binaan Microsoft Edge sebelum ini, anda masih membuat laporan mengenai sebarang isu kepada Microsoft, dengan hanya menekan butang ‘smiley‘ di atas pelayar web ini.

Apa yang menarik di sini, Microsoft masih menyokong sistem operasi terdahulu dengan perisian terkini. Sokongan untuk Windows 8 telah ditamatkan pada 12 Januari 2016, sementara Windows 8.1 akan ditamatkan pada 10 Januari 2023. Bagi Windows 7, ia dijangka akan ditamatkan pada 10 Januari 2020.

Jadi bagi pengguna yang ingin mengujinya pada Windows 7, 8, dan 8.1, anda boleh memuat-turun Microsoft Edge ini melalui saluran Canary. Anda juga boleh memuat-turun pelayar web ini untuk sistem operasi yang lain, dengan menuju ke halaman utama Microsoft Edge Insider.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd