Dengan pengumuman sokongan untuk sambungan PCIe 4.0 pada papan induk AMD X570 yang akan hadir tidak lama lagi, beberapa pihak nampaknya telahpun hadir dengan pengumuman mengenai perkakasan-perkakasan yang akan memaksimakan kebolehan sambungan tersebut.
Diantaranya ialah Corsair, yang mengumumkan kehadiran storan SSD terbaru mereka, Corsair MP600 yang hadir dengan sokongan untuk sambungan PCIe 4.0 di acara Computex Taipei tempoh hari. Dari segi pilihan storan, Corsair mengatakan bahawa SSD MP600 ini akan hadir dengan model 1TB dan juga 2TB.
Dalam pada itu, SSD Corsair MP600 ini juga akan menggunakan rekaan M.2, sama seperti kebanyakan SSD PCIe yang ada di pasaran sekarang.
Dari segi kelajuan pula, Corsair menjanjikan kelajuan pembacaan data sepantas 5.0 GB/s yang lebih pantas berbanding mana-mana storan yang berada di pasaran sekarang.
Walaupun tarikh pelancaran SSD Corsair MP600 ini belum diumumkan lagi, tanda harganya nampaknya telah tertiris di pasaran Eropah. Model dengan storan 1TB dikatakan akan dijual pada harga €249, manakala model 2TB akan dijual pada harga €449.