Carian
Pandang Pertama: Xiaomi Mi 9T – Adakah Ini Peranti Pembunuh Pesaing?
June 20, 2019 Fahim Zahar

Sebut sahaja Xiaomi, pasti ramai yang mengenali akan jenama ini. Xiaomi menjadi terkenal kerana menawarkan harga peranti mereka pada harga yang sangat mampu milik. Tahun lepas, Xiaomi telah mengejutkan dunia dengan sub-jenama Pocophone. Pocophone adalah peranti mercu yang dijual pada harga tidak masuk akal, kerana terlampau murah untuk spesifikasinya.

Terkini Xiaomi sekali lagi melakukan perkara yang sama dengan Mi 9T. Mi 9T adalah Redmi K20 yang dijenamakan semula untuk pasaran global. Hari ini ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Apa yang mengejutkan adalah, peranti ini mempunyai spesifikasi yang hebat dan menawarkan harga yang amat berbaloi. Ini adalah artikel pandang pertama kami buat Xiaomi Mi 9T.

Spesifikasi

Xiaomi Mi 9T menggunakan skrin 6.39-inci panel AMOLED dengan resolusi FHD+, sokongan HDR dan juga dilindungi dengan Gorilla Glass 5. Kemudian, skrin Mi 9T ini sungguh seksi kerana ia langsung tiada takuk dan hampir nirbingkai. Tidak lupa juga, peranti ini mempunyai dagu yang nipis. Untuk cip pemprosesan, ia dijana dengan Snapdragon 730 dan dipadankan dengan pilihan memori 6GB RAM dan pilihan storan dalaman 64GB atau 128GB.

Untuk kamera, paling unik adalah kamera swafotonya. Ini kerana ia menggunakan sistem kamera pop-naik. Sistem kamera pop-naik peranti ini juga lain daripada yang lain, kerana ia mempunyai kesan bunyi yang unik bersama-sama dengan lampu LED. Lensa kamera swafoto adalah 20MP f/2.2 dan kamera belakang pula adalah sistem tri-kamera. Kamera belakangnya terdiri daripada lensa 48MP + 8MP lensa telefoto + 13MP lensa ultra-lebar.

Untuk audio, Mi 9T masih menggunakan pembesar suara mono. Tetapi apa yang menarik, Xiaomi telah sertakan port bicu audio 3.5mm. Ini adalah satu ‘ciri’ paling menarik. Peranti ini turut menggunakan Bluetooth 5.0, port pengecasan USB-C dan juga mempunyai pengimbas cap jari bawah skrin berasaskan optikal.

Kapasiti bateri peranti ini adalah 4000mAh dengan sokongan sistem pengecasan pantas 18W. Atas pengalaman penggunaan peranti Xioami, peranti ini sepatutnya turut menyokong pengecasan USB-PD.

Pengalaman Penggunaan

Untuk skrin, ia lebih hebat berbanding Mi 8. Ia dilihat berada di antara Mi MIX 3 dan Mi 9SE. Warna hitam yang cukup gelap, hasil warna yang cantik dan tajam, serta pengalaman menonton video yang memuaskan. Cuma jika dibandingkan dengan Mi 9, Mi 9 masih cantik dan hasil HDR adalah lebih menakjubkan. Akan tetapi Mi 9T masih ada kelebihannya sendiri, kerana ia tidak mempunyai sebarang takuk dan tidak akan mengganggu pengalaman penggunaan.

Prestasi adalah agak menakjubkan. Tetapi tidak sehebat peranti mercu Snapdragon 845 atau Snapdragon 855. Menurut Android Police, skor tanda aras Snapdragon 730 adalah setaraf dengan Snapdragon 820. Ini bermakna, ia masih belum boleh menandingi Snapdragon 835. Secara tidak langsung memberi makna yang Pocophone F1 masih lagi berkuasa. Walau bagaimanapun, dari segi jangka hayat bateri dan efisiensi, Snapdragon 730 adalah lebih baik kerana binaan cipnya berasaskan 8nm.

Saya mencuba PUBG Mobile dan pengalaman bermain adalah agak menarik. Bukanlah yang terhebat, tetapi memadai. Perlu diingatkan juga, Snapdragon 730 adalah lebih rendah berbanding Snapdragon 730(G) yang lebih memfokuskan permua.

Untuk kamera, peranti ini dilihat mempunyai hasil yang menggembirakan hati pengguna. Saya terkejut dengan lensa ultra-lebar yang mempunyai fungsi membaiki herotan gambar yang agak baik. Untuk gambar biasa, hasilnya ‘OK‘, bukan yang terbaik – kerana masih ada hingar ketika gambar dizoomkan. Kemudian, hasil HDR juga adalah biasa-biasa sahaja. Kamera swafoto pula agak menakjubkan. Hasil gambar yang cantik dan menarik. Warna sedikit pudar, tetapi butirannya adalah cukup baik.

This slideshow requires JavaScript.

Untuk mod bokeh, kamera swafoto dan kamera utama mempunyai hasil yang cantik. Seterusnya, aplikasi kameranya juga mempunyai fungsi yang sama seperti Mi 9 dan Mi 9T – yang mana mempunyai kemampuan pembedahan plastik secara maya dan juga mod kecantikan yang boleh menambah kesan alat solekan. Bateri masih belum saya uji lagi, kerana saya hanya berpeluang menggunakannya dalam masa beberapa jam sahaja. Mungkin akan diterangkan kelak dalam artikel ulasan.

Rekaan

Di bahagian hadapan, ia mempunyai rekaan yang seksi. Seperti yang saya katakan tadi. Dengan tiada takuk dan dagu yang nipis, rekaan hadapannya sungguh menawan. Di bahagian belakang, panel yang digunakan adalah kaca dan mempunyai warna cerun yang sangat unik. Jika digerakkan ke sudut lain, ia mempunyai corak beralun yang cantik dan turut berubah warna kehijauan. Di bahagian tengah, warnanya kekal hitam dan gelap.

This slideshow requires JavaScript.

Untuk kamera, ia diletakkan di bahagian tengah atas dan tidak mempunyai bonjol yang tinggi. Jadi, risiko untuk lensa pecah adalah kurang. Di bahagian atas terdapat mikrofon, port bicu audio dan juga kamera pop-naik. Manakala di bahagian bawah pula adalah slot kad SIM, kekisi pembesar suara, USB-C dan satu lagi mikrofon. Sisi kanan adalah bersih dan tiada apa-apa dan akhir sekali di sisi kiri mempunyai butang kuasa berwarna dan butang kawal suara. Rekaan Mi 9T adalah unik dan menawan. Walaupun ia kelihatan premium, di tangan ia masih terasa murah.

Patut Beli Atau Tidak?

Jika anda tidak mempunyai bajet yang tinggi untuk membeli peranti mercu, peranti ini mempunyai cukup kuasa. Jika anda hanya inginkan prestasi, Pocophone F1 masih lagi berbaloi. Tetapi jika anda pentingkan skrin, kamera dan rekaan – Mi 9T adalah pilihan bijak. Ini hanyalah pendapat awal saya sahaja, ia mungkin akan berubah jika saya telah menghabiskan masa yang lama dengan peranti ini.

Harga rasmi peranti ini adalah RM1199 untuk variasi 6/64 GB. Tetapi jika membuat pra-tempahan awal, anda berpeluang membeli pada harga hanya RM1099. Jika inginkan storan yang lebih besar, terdapat juga variasi 6/128 GB yang dijual pada harga RM1,399. Warna pilihan yang boleh dipilih adalah Carbon Black, Flame Red dan Glacier Blue.

Komen