Cari @ Amanz

Kami bernasib baik dapat menonton filem klasik Titanic, The Matrix, Star Wars The Return of The Jedi, E.T dan Goodfellas di wayang. Ini adalah kerana kami sudah agak berumur. Bagi majoriti pembaca Amanz yang masih muda remaja, filem-filem klasik ini hanya boleh ditonton pada skrin TV di rumah atau distrim pada peranti pintar. Tetapi ini tidak memberikan kenikmatan sebenar seperti menonton di panggung wayang.

GogoCinemaOleh itu perkhidmatan GoGoCinema telah ditawarkan di Malaysia oleh Golden Screen Cinemas. Menerusi GoGoCinema anda boleh memilih untuk menonton mana-mana filem dari katalog ribuan filem yang ditawarkan pada aplikasi pintar. Selepas melakukan tempahan, anda kemudian boleh ke panggung wayang GSC yang menawarkan GoGoCinema untuk menonton filem tersebut di skrin gergasi.

Tempahan filem boleh dilakukan secara individu bagi mereka yang ingin menonton berseorangan atau secara berkumpulan. Ini membuka peluang untuk anda menyewa keseluruhan panggung untuk filem yang ditonton dengan mudah. Terdapat juga pilihan menonton awam terbuka yang memerlukan jumlah tiket minimum dibeli sebelum waktu yang ditetapkan. Mungkin selepas ini pihak Amanz boleh menganjurkan tayangan Pirates of Silicon Valley menggunakan GoGoCinema kepada pembaca yang berminat.

Untuk merealisasikan GoGoCinema di Malaysia, GSC bekerjasama dengan GDC Technology Limited menggunakan teknologi Cinema Automation 2.0 (CA2.0). Kerjasama ini ditandatangani ketika acara CineEurope 2019 yang sedang berlangsung sekarang di Barcelona.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd