Kamera Galaxy Note 10 Dijangka Akan Mempunyai Tiga Peringkat Aperture Yang Boleh Diubah

Kamera Galaxy Note 10 Dijangka Akan Mempunyai Tiga Peringkat Aperture Yang Boleh Diubah

Diterbitkan pada June 20, 2019 oleh .

Samsung Galaxy Note 10 telah dikatakan akan hadir dengan sistem tri-kamera secara menegak pada bahagian belakang. Apa yang menarik lagi, ia dilaporkan akan hadir dengan aperture yang boleh diubah melalui tiga peringkat, iaitu f/1.5 – f/1.8 – f/2.4.

Samsung pada tahun lalu telah hadir dengan sistem aperture yang boleh diubah melalui perkenalan Samsung Galaxy S9+. Ia membolehkan peranti menukar dua aperture, bermula aperture sebesar f/1.5 sehingga aperture f/2.4. Pertukaran aperture ini dapat dilihat dengan jelas pada perkakasan kamera, dengan bahagian bukaan lensa yang bergerak ketika menukar antara peringkat aperture ini.

Kebolehan aperture yang boleh diubah ini kemudiannya dikekalkan pada siri Samsung Galaxy S10, dengan penggunaan aperture yang serupa.

Pada Galaxy Note 10 kelak, ia dijangka akan menyertakan tiga peringkat aperture yang boleh diubah, menerusi f/1.5 – f/1.8 – f/2.4. Dengan perlaksanaan aperture boleh ubah ini, aperture f/1.5 boleh digunakan ketika penggambaran pencahayaan rendah, sementara f/2.4 digunakan ketika situasi mesra cahaya.

Bagi aperture f/1.8, ia boleh digunakan pada situasi yang mempunyai pencahayaan seimbang. Peringkat aperture ini dijangka akan dapat mengurangkan masalah overexposure yang sering menjadi isu pada kamera peranti Samsung.

Ia masih tidak diketahui sama ada ia akan digunakan pada kedua-dua model Galaxy Note 10 atau menjadikannya sebagai fungsi eksklusif pada Galaxy Note 10 Pro. Namun dengan perletakkan fungsi ini, ia pastinya dapat menjadi titik jualan yang unik berbanding peranti pesaingnya yang lain.


TIPS & ULASAN