Cari @ Amanz

PCI-SIG baru sahaja mengumumkan spesifikasi PCI Express 5.0 pada akhir bulan lalu dengan penawaran kelajuan 128GB/s. Namun nampaknya kini telah mula berkongsi mengenai PCI Express 6.0, yang mana dijangka akan membawakan kelajuan sehingga 256GB/s.

Pada saat ini, PCIe 4.0 yang sedia digunakan pada pengkomputeran hari ini dapat mencapai kelajuan bandwidth 64GB/s. Namun apabila PCIe 6.0 berada pada produk pengguna kelak, ia dapat mencapai kelajuan bandwidth sebanyak 4x ganda berbanding penawaran PCIe pada saat ini.

Seperti penawaran produk sebelum ini, sesebuah piawaian teknologi selalunya mengambil sekitar 1-2 tahun, untuk membolehkan pengguna melihat produk akhir dengan piawaian terbaru ini. PCIe 5.0 dijangka akan hadir pada tahun 2020, sementara PCIe 6.0 dilaporkan akan menyusul pada sekitar 2022 atau 2023.

Dengan permintaan pengkomputeran yang lebih berkuasa dari hari ke hari, badan PCI-SIG sangat komited dalam menambah baik penawaran piawaian PCI Express. Ia dijangka dapat memanfaatkan proses kecerdasan buatan (AI), storan berasaskan NVMe, dan tentunya perkakasan GPU yang semakin berkuasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd