Projek ‘Rumble Pak’ Ingin Memberi Kesan Getaran Ketika Anda Menonton Netflix Di Telefon

Projek ‘Rumble Pak’ Ingin Memberi Kesan Getaran Ketika Anda Menonton Netflix Di Telefon

Diterbitkan pada June 24, 2019 oleh .

Alat kawalan permainan seperti PlayStation DualShock sedia memberi isyarat getaran ketika sesebuah aksi berlaku di dalam permainan. Perkara ini sekaligus dapat memberi pengalaman yang lebih imersif, seolah-olah anda merasai bentuk aksi tersebut di tangan anda. Dengan mengambil pengalaman yang serupa, sebuah projek telah dibangunkan untuk kegunaan Netflix.

Projek ‘Rumble Pak’ adalah salah satu idea yang diperlihatkan ketika acara ‘Hack Days’ yang dianjurkan oleh Netflix. Acara ini membolehkan para pembangun menghasilkan idea yang unik berdasarkan teknologi yang diberikan oleh Netflix sendiri.

Melalui projek ‘Rumble Pak’, ia membolehkan pengguna mendapatkan kesan getaran apabila menonton rancangan di Netflix. Apabila sesuatu aksi berlaku, telefon akan mengeluarkan getaran pada tangan anda. Bayangkan anda sedang menonton adegan peperangan, setiap letupan akan menghasilkan isyarat getaran.

Walau bagaimanapun, fungsi ini hanya diperlihatkan sebagai idea dan tidak diketahui sama ada ia akan diperkenalkan kepada pengguna. Namun ia sedia diketahui oleh pihak Netflix sendiri, dan mungkin akan membawanya sekiranya ia dilihat praktikal untuk diimplementasikan.


TIPS & ULASAN