Raspberry Pi 4 Diperkenalkan Dengan USB 3.0, WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0 & Menyokong 2 Paparan 4K

Raspberry Pi 4 Diperkenalkan Dengan USB 3.0, WiFi 802.11ac, Bluetooth 5.0 & Menyokong 2 Paparan 4K

Diterbitkan pada Jun 24, 2019 oleh .

Raspberry Pi merupakan komputer bersaiz kad kredit, yang membolehkan anda menjadikannya sebagai peranti berhubung, peralatan pintar, dan komputer peribadi. Ia telah melalui tiga generasi, dan kini, ia telah memasuki generasi ke-empat dengan penyertaan sejumlah fungsi moden.

Raspberry Pi 4 Model B telah membawa peningkatkan yang ketara berbanding generasi sebelumnya, dengan perletakkan cip pemprosesan Broadcom BCM2711 berasaskan 4x Cortex-A72 1.5 GHz. Ia juga hadir dengan sokongan H.265, memori sehingga 4GB RAM, dan mampu memaparkan paparan penuh 4K @ 60 fps (atau 4K @ 30 fps apabila dihubungkan melalui 2x sambungan mikro-HDMI).

Apa yang menarik lagi, ia juga menyertakan sejumlah sambungan terkini, seperti 2x USB 3.0 (penambahan kepada 2x USB 2.0), Bluetooth 5.0, dan 1x USB-C untuk menghidupkan peranti. Seperti Raspberry Pi sebelum ini, ia turut menyertakan 1x slot mikroSD untuk janaan storan bersama sambungan 3.5mm untuk sokongan audio.

Bagi membolehkan pengguna menikmati sambungan internet yang lebih pantas, ia juga menyertakan sambungan WiFi 802.11ac berserta sambungan ethernet gigabit.

Rasberry Pi 4 Model B telah ditawarkan dalam tiga pilihan variasi, iaitu 1GB RAM ($35 / ~RM145), 2GB RAM ($45 / ~RM187), dan 4GB RAM ($55 / ~RM228). Ia boleh didapati melalui laman rasmi Raspberry Pi dengan sejumlah penawaran aksesori yang menarik untuk dipadankan padanya.



Paling Popular