Kemaskini VLC Player Anda Sekarang Untuk Mengelakkan Komputer Anda Digodam

Kemaskini VLC Player Anda Sekarang Untuk Mengelakkan Komputer Anda Digodam

Diterbitkan pada June 24, 2019 oleh .

VLC merupakan pemain video popular yang sedia ditawarkan untuk platform berbeza. Ia cukup dikenali kerana ia mampu memainkan kandungan multimedia tanpa perlu memasang codec tambahan. Namun begitu, ia dikatakan mempunyai kerentanan (vulnerabilities) yang dijangka dapat mengganggu sistem komputer anda.

Ia dilaporkan oleh penyelidik keselamatan di Pen Test Partners yang mengatakan ia mempunyai kerentanan dengan fail berformat .avi dan .mkv. Decoder bagi kedua-dua format ini bukan hanya berpotensi untuk membuatkan perisian terkandas (crash), tetapi turut membenarkan kod dilancarkan, dan seterusnya membuka akses penuh akaun pengguna yang sedang dilog masuk.

Dalam bahasa mudahnya, komputer anda berkemungkinan boleh diakses dari jauh melalui kaedah remote. Ia dapat dilakukan kerana akses akaun komputer anda telah ditukar kepada akses penuh, sekaligus membolehkan sebarang pengubahsuaian pada sistem dapat dilakukan.

Sekiranya anda tidak mengemaskini perisian VLC kepada versi 3.0.7 dan ke atas, anda mungkin terkesan dengan kerentanan ini melalui fail .avi atau .mkv yang dimuat-turun. Seseorang individu yang tidak bermoral boleh boleh memuat-naik fail .avi atau .mkv yang berbahaya ini secara mudah, melalui halaman-halaman yang popular seperti torrent dan sejumlah laman perkongsian yang lain.

Bagi anda sedia menggunakan VLC, anda dinasihatkan untuk mengemaskini perisian ini kepada versi 3.0.7 dan lebih terkini. Anda boleh mengemaskininya dengan mengaktifkan fungsi ‘check for updates‘ atau memuat-turun fail pemasangannya melalui halaman rasmi VLC.


TIPS & ULASAN