Bersama Snapchat – Perancangan Masa Hadapan, Kelebihan Berbanding Instagram & Isu Kualiti Di Android

Bersama Snapchat – Perancangan Masa Hadapan, Kelebihan Berbanding Instagram & Isu Kualiti Di Android

Diterbitkan pada June 25, 2019 oleh .

Snapchat merupakan sebuah platform yang membolehkan pengguna berkongsi gambar dan video sementara dalam tempoh 24 jam. Sebelum wujudnya Instagram Stories, Snapchat terlebih dahulu telah mempopularkan perkongsian ‘Stories’ ini, sehingga ia turut diikuti oleh WhatsApp dan Facebook. Apa yang menarik lagi, Snapchat juga turut menjadi platform yang mempopularkan penggunaan penuras (filter) yang menarik untuk menjadikan ‘stories‘ lebih kelihatan ceria.

Namun begitu, Snapchat pada saat ini diasak oleh pesaingan yang hebat daripada Instagram, sekaligus menimbulkan sedikit tanda tanya bagaimanakah prestasi Snapchat pada saat ini. Instagram telah mula menawarkan format ‘Instagram Stories’ pada September 2017, yang mana langkah ini sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada penggunaan Snapchat.

SnapChat

Kami berkesempatan untuk memberi beberapa soalan kepada Snapchat mengenai hala tuju dan perancangan mereka pada masa hadapan. Dalam sesi pertanyaan ini, kami juga menyertakan beberapa soalan mengenai kelebihan Snapchat dan bagaimana mereka dapat mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri ini.

Di dalam sesi soal jawab ini, kami bersama Nana Murugesan iaitu Pengarah Pasaran Antarabangsa di Snap Inc.

Berapakah bilangan pengguna aktif Snapchat di Malaysia dan global pada saat ini?

Secara kasarnya, Snapchat mempunyai sekitar 190 juta pengguna aktif pada setiap hari. Dengan pengenalan aplikasi versi baru Snapchat untuk Android dan sokongan Bahasa Melayu yang bakal disertakan nanti, kami sentiasa komited untuk memperluaskan penggunaan Snapchat di Malaysia.

Apakah kebaikan Snapchat berbanding platform pesaing yang lain?

Terdapat beberapa kelebihan apabila pengguna menggunakan Snapchat. Salah satu kelebihannya adalah, apabila pengguna membuka aplikasi Snapchat, ia akan terus menuju ke bahagian kamera. Perkara ini sekaligus dapat membolehkan pengguna Snapchat dapat membuat perkongsian secara pantas, tanpa perlu menuju ke halaman lain terlebih dahulu.

Snapchat juga direka untuk membolehkan pengguna berinteraksi dengan rakan-rakan karib mereka dengan mudah. Kesemua mesej dan bualan di dalam aplikasi tidak akan disimpan, sekaligus menggalakkan pengguna meluahkan sesuatu perkara peribadi tanpa perlu sebarang kerisauan.

Snapchat juga menggalakkan pengguna untuk terus kreatif dengan penggunaan Lens yang disertakan secara terbina. Penggunaan boleh memadankannya pada wajah dan bermain dengannya, untuk menghasilkan beberapa ekspresi yang unik dan menarik. Selain itu, Snapchat juga sedia terkenal dengan penawaran penuras, pelekat (stickers), dan Bitmoji yang menarik untuk pengguna.

Snapchat juga mempunyai ciri-ciri yang mengutamakan privasi, seperti tidak menyimpan sebarang mesej, tidak kira pada telefon anda atau oleh pihak Snapchat sendiri. Mesej yang dihantar juga melalui proses penyulitan (encryption) yang berkualiti tinggi, bagi mengelakkan ia dibaca dan diakses oleh mana-mana pihak.

Bagaimanakah Snapchat menjana pendapatan?

Kami menjana pendapatan daripada pengiklanan, dengan membenarkan iklan-iklan ini ditempatkan pada sejumlah lokasi di dalam Snapchat ini. Antaranya pada bahagian Discover yang sedia menyajikan kandungan-kandungan berasaskan penjenamaan.

Kami juga sedia hadir dengan inisiatif seperti Snap Ads, Story Ads, Collections Ads, penuras / pelekat yang ditaja, bagi membolehkan pengiklan memasarkan produk mereka pada perkhidmatan Snapchat.

Bilakah Snapchat Spectacles akan ditawarkan kepada pengguna di luar pasaran Amerika Syarikat?

Kami sebenarnya telah melakukannya pada saat ini. Ia tidak ditawarkan untuk Malaysia setakat ini, namun kami telah menyajikannya kepada pengguna-pengguna di Eropah, Kanada, dan beberapa buah syarikat di pasaran Timur Tengah. Anda boleh melihat senarai pengedar dan lokasi daripada laman web kami untuk pembelian Snapchat Spectacles ini.

Spectacles 2.0

Kenapa kualiti Snapchat kelihatan lebih baik pada peranti Apple berbanding peranti Android?

Snapchat pada asalnya mempunyai fokus untuk merancakkan penggunaan aplikasi dengan lebih pantas dan meluas, jadi kami lebih menekankan kualiti untuk menjadikan komunikasi visual ini berjaya menarik perhatian pengguna. Disebabkan itu, kami menguji sejumlah inovasi ini pada peranti berprestasi tinggi, antaranya peranti iPhone.

iOS pernah diutamakan kerana ia menyediakan API yang lebih meluas, selain menyediakan perisian pembangunan aplikasi yang sedia menyajikan sejumlah perkakasan yang lebih menyeluruh.

Namun pada saat ini, fungsi-fungsi yang sedia dinikmati pada iOS akan dibawa pada versi Android, bagi membolehkan pengguna menikmati pengalaman Snapchat yang lebih selari antara kedua-dua platform ini.

Kami dalam perancangan untuk memperkenalkan versi Snapchat baru untuk pengguna Android pada tahun ini, yang mana ia bakal menyajikan pengalaman penggunaan yang lebih baik bersama pembukaan aplikasi 20% lebih pantas.

Bilakah pengguna di Malaysia dapat melihat kandungan berasaskan tempatan pada bahagian Discover?

Snapchat: Kami tiada perancangan untuk memperkenalkannya pada saat ini, namun kami percaya bahawa kandungan berasaskan tempatan ini dapat memanfaatkan pengguna di sesebuah negara.

Kami sentiasa meneliti sesuatu kandungan ini dihasilkan, bagi membolehkan pengguna menikmati kandungan yang relevan dan berkualiti tinggi. Kami juga menitikberatkan hubungan bersama penghasil kandungan, bagi membolehkan mereka dapat memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan kepada pengguna.

Apakah strategi Snapchat untuk membawa kembali pengguna-pengguna yang telah berpindah ke Instagram Stories? Bagaimana Snapchat dapat kekal relevan pada akan datang?

Sewaktu Snapchat membangunkan Stories, fungsi ini dibangunkan bukan untuk tujuan pemasaran, tetapi lebih kepada fungsi untuk perkongsian peribadi pengguna. Pengguna boleh menghantarnya setiap hari dengan cara yang kreatif, selain membolehkannya dijadikan sebagai pembuka sesuatu bualan. Ia juga disusun dalam bentuk turutan, sekaligus memudahkan anda mengikuti sesuatu penceritaan dengan lebih teratur.

Pada pasaran yang mempunyai pengguna iOS yang ramai, kami dilihat mempunyai jumlah penggunaan aktif harian yang lebih besar berbanding pesaing. Antara golongan usia yang banyak menyumbang kepada penggunaan ini adalah golongan yang berusia dari 13 hingga 34 tahun.

Untuk sebab tertentu, aplikasi kami tidak dapat dijalankan dengan baik pada peranti Android, sekaligus menyebabkan kami mempunyai jumlah pengguna yang kecil pada pasaran yang didominasi oleh peranti Android.

Instagram dan Snapchat juga mempunyai dua asas perlaksanaan yang berbeza, jadi ia turut hadir dua fokus yang berbeza. Snapchat pada asalnya tidak dibangunkan untuk jadikan sebagai platform pemasaran, tetapi lebih kepada platform untuk memudahkan anda berkomunikasi dengan lebih tertutup. Perkara ini menyebabkan perkhidmatan kami terus aktif digunakan pada pasaran-pasaran, yang sedia mempunyai jumlah penggunaan Snapchat yang tinggi.

Kami juga percaya bahawa fungsi seperti Stories, Lens (pelekat berbentuk AR), Snap Games, dan kandungan di dalam Discover dapat membezakan kami berbanding perkhidmatan yang lain. Kami juga akan terus menghasilkan inovasi-inovasi yang menarik, untuk menjadikan perkhidmatan kami dapat memanfaatkan pengguna sedia ada dan akan datang.


TIPS & ULASAN